MELAKA – Polis telah membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak tiga bulan lepas, dengan 3,150 anggota dikenal pasti untuk ditugaskan sepanjang proses pilihan raya itu.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata daripada jumlah itu, 1,500 anggota merupakan bantuan dari luar Melaka, bagi memastikan penugasan sepanjang PRN dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan terbubar secara rasmi berkuat kuasa esok (hari ini), pihak polis telah bersiap sedia lebih awal.
“Persiapan awal itu termasuk mengadakan simulasi dan latihan, bagi membiasakan anggota dengan tugasan serta situasi yang mungkin dihadapi sepanjang proses pilihan raya,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pesara Polis bersama dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini malam tadi.
Zulkhairi berkata PDRM Melaka turut mengambil pengalaman daripada negeri-negeri lain yang telah terlebih dahulu menjalankan proses pilihan raya bagi memastikan pasukannya bersedia menghadapi PRN berkenaan.
Beliau berkata Polis Melaka turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memantau kandungan di media sosial sepanjang tempoh PRN.
“Pada hari ini (semalam) kita telah mengadakan perbincangan dengan MCMC bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan segala apa-apa yang melibatkan dalam talian, terutamanya di media sosial dan sebagainya.
“Jadi kita dibantu oleh pihak MCMC untuk pemantauan apa jua segala status yang dimuat naik di Facebook dan apa jua media media sosial,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggunakan media sosial untuk menyebarkan perkara tidak benar dan berunsur fitnah, khususnya perkara berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja.
Dalam perkembangan lain, Dzulkhairi berkata cadangan penubuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hang Tuah Jaya telah diangkat ke Bukit Aman sejak tahun lepas dan kini masih dalam kajian pihak Penyelidikan dan Pembangunan Bukit Aman.
Beliau berkata pihaknya akan membuat tindakan susulan bagi memastikan cadangan itu dapat diselaraskan dengan kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.
“Cadangan penubuhan IPD tersebut merupakan satu keperluan berikutan peningkatan populasi penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
“Keperluan ini juga mengambil kira faktor kepadatan penduduk di kawasan tersebut iaitu melibatkan sebahagian kawasan Melaka Tengah, Alor Gajah dan juga Jasin,” katanya. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
