Iman Tidak Terpadam: Kebangkitan Pendidikan Islam di Kemboja

Oleh: Dr. Saleha Idris

KETIKAmenyusuri jambatan yang menghubungkan Phnom Penh dengan Chroy Changvar di Kemboja, penulis terfikir mengenai sejarah sebuah negara yang pernah menyaksikan kehancuran, kehilangan dan penderitaan yang begitu besar antara tahun 1975 hingga 1979.

Namun, di sebalik sejarah hitam itu, ada satu perkara yang begitu menarik perhatian penulis iaitu iman yang tidak berjaya dimusnahkan.

Era pemerintahan Khmer Rouge menyaksikan pembunuhan, kebuluran, penyakit, kerja paksa dan kemusnahan besar-besaran terhadap kehidupan masyarakat. Dalam suasana yang begitu getir, kehidupan beragama turut menerima tekanan yang besar.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Namun, agama tidak hilang. Iman terus hidup dalam diri manusia dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Kembalinya pendidikan agama

Kini, kita dapat melihat masyarakat Islam Kemboja terus membina semula kehidupan mereka. Al-Quran dan ilmu agama kembali dihidupkan bukan sahaja di madrasah, tetapi juga di ceruk kampung dan di rumah-rumah.

Yang paling menyentuh hati penulis ialah melihat anak-anak Muslim Kemboja kembali belajar al-Quran menggunakan Muqaddam dan Iqra’ dari Malaysia, selain mengikuti pengajian agama dan pendidikan Islam yang turut mendapat manfaat daripada hubungan dengan negara jiran, Malaysia.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Seorang anak yang mempelajari al-Quran dan agama sebenarnya sedang menyambung kembali satu rantaian ilmu yang pernah hampir terputus suatu ketika dahulu, yang mana rantaian tersebut dihidupkan oleh guru-guru agama yang sanggup berkorban, malah ada yang mengajar tanpa mengharapkan upah dan ganjaran material.

Di sinilah penulis melihat kekuatan individu yang mutadayyin iaitu mereka yang mempunyai kesungguhan untuk mempertahankan dan memartabatkan agama walaupun hidup sebagai kelompok minoriti.

Mereka memahami bahawa pendidikan agama bukan sekadar ilmu untuk diri sendiri, tetapi amanah untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

Dakwah dari Malaysia untuk Kemboja

Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dalam pendidikan Islam, pembangunan institusi agama, latihan guru dan penyelidikan.

Kemboja pula mempunyai pengalaman sejarah yang sangat bernilai tentang bagaimana sebuah komuniti berusaha membina semula pendidikan agama selepas melalui tempoh yang amat sukar.

Hubungan kedua-dua negara tidak seharusnya hanya dilihat sebagai hubungan antara pihak yang memberi dan menerima sebaliknya, ia boleh menjadi hubungan perkongsian ilmu, pengalaman dan kekuatan.

Pengaruh dan hubungan pendidikan Islam antara Malaysia dan Kemboja juga dapat dilihat melalui pelbagai bentuk pertukaran ilmu dan amalan, termasuk dalam pendidikan al-Quran, pengajian agama, latihan serta jaringan masyarakat.

Malaysia bukan sekadar negara jiran tetapi menjadi rakan strategik dakwah dalam memperkukuh pendidikan Islam dan transmisi dakwah di rantau Asia Tenggara, khususnya kepada masyarakat Muslim minoriti.

Jambatan yang bermakna

Hari ini, jambatan yang menghubungkan Phnom Penh dan Chroy Changvar mungkin hanya dilihat sebagai sebuah laluan namun bagi penulis, ia menjadi satu simbol yang bukan sahaja menjadi penghubung antara manusia dengan manusia, tempat dengan tempat dan sejarah dengan masa depan tetapi juga pendidikan agama.

Jambatan yang runtuh boleh dibina semula, bangunan yang musnah boleh kembali tersergam indah, institusi yang pernah terhenti boleh dibangunkan semula dan begitu juga ilmu dan amalan keagamaan.

Selagi ada manusia yang mahu belajar dan mengajar, pendidikan agama akan terus hidup.

Iman Yang Terus Menyala

Daripada sebuah sejarah yang penuh penderitaan, hari ini kita melihat anak-anak Muslim Kemboja kembali membaca al-Quran dan mempelajari ilmu agama.

Ini kerana mereka juga mahu terus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat serta negara lain yang sedang membangun dan maju.

Di sini dapat kita lihat iman tidak semestinya kelihatan besar. kadangkala ia hadir dalam perkara yang sangat sederhana seperti seorang ibu yang mengajar anaknya ilmu agama, seorang guru yang sabar mengulang bacaan, seorang anak yang mengeja huruf al-Quran dan sebuah keluarga yang memastikan pendidikan agama terus diwariskan.

Daripada perkara-perkara kecil inilah sebuah masyarakat dapat membina semula kekuatan kerana pendidikan Islam bukan sekadar melahirkan manusia yang tahu tentang agama.

Pendidikan Islam membentuk manusia yang hidup dengan agama dan Kemboja mengajar kita satu perkara yang sangat besar iaitu keamanan yang dinikmati di Malaysia bukan sekadar nikmat untuk kita syukuri, tetapi juga peluang untuk kita berkongsi ilmu, pengalaman dan kekuatan dengan masyarakat Muslim di negara lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Islam itu tinggi dan tidak ada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadanya.” (Riwayat al-Daraqutni dan al-Bayhaqi).

Sejarah Kemboja mengingatkan kita bahawa bangunan boleh dihancurkan dan institusi boleh dimusnahkan namun, cahaya Islam terus mencari jalannya melalui ilmu, keluarga, guru dan generasi yang mahu belajar.

Daripada Malaysia ke Kemboja, dakwah bukan sekadar tentang menyampaikan. Ia juga tentang menghubungkan, membina dan menghidupkan kembali ilmu kerana selama ada seorang guru yang mahu mengajar, seorang ibu yang mahu membimbing dan seorang anak yang mahu belajar, iman itu akan terus menyala.

Dr Saleha Idris ialah Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *