KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 14 kertas siasatan susulan pelbagai kelemahan yang dikesan menerusi pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH).
Daripada jumlah itu, lapan kertas siasatan merupakan siasatan baharu yang dibuka selepas semakan lanjut terhadap laporan berkenaan menemukan beberapa isu tambahan, khususnya berkaitan pelaburan yang dikatakan bermasalah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, berkata enam kertas siasatan terdahulu dibuka bagi menyiasat dakwaan berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang dibangkitkan dalam laporan RCI.
Katanya, selepas kira-kira dua minggu siasatan dijalankan, tiga daripada enam kertas siasatan berkenaan telah diselesaikan sepenuhnya, termasuk yang mempunyai Perakuan Untuk Pertuduhan dan Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
“Enam dakwaan rasuah yang disiasat SPRM sebelum ini merangkumi dakwaan rasuah dalam pembelian ladang oleh TH Plantation, yang juga anak syarikat TH.
“Kedua, berkaitan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam sewaan premis Restoran Opah di KL Sentral, ketiga membabitkan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyelewengan sebuah lagi restoran.
“Keempat adalah berkaitan dakwaan penyelewengan dan rasuah oleh bekas Ketua Pegawai Operasi TH. Kelima, dakwaan pemalsuan dokumen Rubber City yang dikatakan ladang Tabung Haji, manakala keenam adalah dakwaan penyelewengan pegawai bagi anak syarikat Tabung Haji Properties Sdn Bhd,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurut Abdul Halim, tiga lagi kertas siasatan daripada enam isu asal kini berada pada peringkat akhir dan penelitian masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam tempoh dua minggu siasatan berlangsung, SPRM turut menyerbu sekurang-kurangnya 28 premis, sebahagian besarnya di sekitar Lembah Klang.
Serbuan itu membawa kepada penyitaan pelbagai dokumen berkaitan, selain tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan.
Daripada tujuh tangkapan berkenaan, lima individu direman, manakala dua lagi tidak direman atas faktor kesihatan.
Pada masa sama, seramai 115 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Abdul Halim berkata, siasatan yang dijalankan turut meliputi pengesanan aliran kewangan dengan meneliti dokumen serta penyata kewangan daripada institusi perbankan dan pihak berkaitan.
“SPRM juga sedang meneliti secara terperinci dokumen perjanjian kontrak serta dokumen pembayaran dan meneruskan siasatan terhadap keenam-enam isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan,” katanya.
Menurutnya, semakan lebih menyeluruh terhadap laporan RCI turut menemukan lapan isu tambahan yang berkaitan pelaburan bermasalah, sekali gus menyebabkan jumlah keseluruhan kertas siasatan meningkat kepada 14.
Lapan pelaburan yang kini dalam penelitian SPRM membabitkan Deru Semangat Sdn Bhd dalam sektor perladangan sawit, ABRAJ Sdn Bhd, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Raudhah Real Estate, Al-Farida Residential Fund, Tabung Haji Properties Sdn Bhd, Tabung Haji Marine Sdn Bhd serta Tabung Haji Hotel & Residence.
Katanya, dokumen yang disita daripada pejabat dan premis yang diserbu kini sedang diteliti oleh pegawai penyiasat bagi mengenal pasti maklumat penting serta saksi yang boleh membantu siasatan.
“Dokumen itu sudah dibawa pulang oleh pegawai penyiasat dan ia akan disemak, diteliti dan sebagainya malah pasukan penyiasat juga akan mengenal pasti siapa (seterusnya) akan dipanggil untuk tujuan dirakam keterangan,” katanya.
Abdul Halim berkata, SPRM menyasarkan untuk memanggil individu yang dikenal pasti dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang bagi membantu melengkapkan siasatan.
Siasatan berkenaan dimulakan selepas SPRM menubuhkan pasukan khas pada 30 Julai lalu bagi menyemak dan meneliti hasil laporan RCI TH yang didedahkan sehari sebelumnya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, dilantik mengetuai pasukan khas berkenaan.
Pasukan itu ditugaskan meneliti sebarang isu perundangan yang mempunyai kaitan dengan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram berdasarkan penemuan dalam laporan RCI.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
