Oleh: Bazli Razak
KUALA NERUS – Kem Basikal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan kecemerlangan apabila menyumbang dua pingat emas kepada kontinjen universiti itu pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Rabu lalu.
Dua emas itu diraih menerusi acara individu veteran oleh Muhammad Khairul Izwan Mohd Basri dan kategori Team Time Trial (TTT) Senior yang turut dibarisi tiga pelumba lain iaitu Mohamad Amin Idros, Dr Ramdzan Ali Saibon dan Muhamad Nizar Mt Zain.
Dalam acara individu veteran yang bermula seawal 8 pagi, pelumba UPSI Ahmad Ritaudin Hamzah yang menjadi antara sandaran utama untuk meraih emas terpaksa berdepan nasib malang apabila terbabit dalam kemalangan kira-kira 20 meter selepas perlumbaan bermula.
Bagaimanapun, Ahmad Ritaudin tetap meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat dan berjaya menduduki tempat keempat walaupun mengalami kecederaan yang kemudian dikenal pasti melibatkan keretakan tulang di bahagian hadapan dadanya.
Kegagalan Ahmad Ritaudin tidak mematahkan semangat kem basikal UPSI apabila Muhammad Khairul Izwan bangkit menebus kehampaan itu dengan memenangi emas dalam kategori individu veteran, sekali gus menghadiahkan emas pertama kepada kontinjen UPSI.
Muhammad Khairul Izwan mencatat kelebihan masa dua minit empat saat berbanding pelumba di tempat kedua, sekali gus membuktikan keunggulan pelumba UPSI dalam acara Mountain Bike Cross-Country (XCO).
Kejayaan kem basikal UPSI diteruskan menerusi acara Team Time Trial (TTT) Senior apabila gandingan Muhammad Khairul Izwan, Mohamad Amin, Dr Ramdzan dan Muhamad Nizar menewaskan tujuh pasukan lain dengan catatan masa lima minit sembilan saat untuk meraih emas kedua UPSI.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ketua Pasukan Kem Basikal UPSI, Ramli Mosmin berkata kejayaan itu amat bermakna memandangkan persiapan pasukan bagi menghadapi SUKUM kali ini agak terhad berbanding kejohanan sebelumnya.

“Persiapan latihan pasukan bagi kejohanan kali ini sebenarnya agak kurang berbanding tahun sebelumnya, namun saya percaya pelumba yang dipilih merupakan barisan terbaik yang ada di UPSI ketika ini.
“Pengalaman mereka menyertai pelbagai kejohanan di luar turut membantu meningkatkan keyakinan dan memberi kelebihan ketika berdepan saingan di SUKUM.
Menurut beliau, penglibatan pelajar UPSI, Ahmad Hazmi Hamdan yang pernah meraih tiga pingat emas pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 sebagai jurulatih turut memberi dimensi baharu dalam persiapan pasukan.
“Ahmad Hazmi menggunakan pendekatan latihan berintensiti tinggi dan kaedah itu ternyata membuahkan hasil yang baik dalam meningkatkan prestasi pelumba.
Ramli berkata kejayaan meraih dua emas itu turut mengukuhkan reputasi Kem Basikal UPSI yang konsisten menyumbang pingat kepada kontinjen universiti berkenaan dalam SUKUM sejak 2016.
“Kem basikal UPSI mempunyai sejarah tersendiri kerana terus mencatat kutipan pingat dalam penyertaan SUKUM pada 2016, 2017, 2018, 2022 dan 2024.
“Pencapaian ini membuktikan usaha dan komitmen pasukan untuk mengekalkan prestasi walaupun berdepan cabaran dari segi persiapan,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
