JAKARTA – Indonesia berdepan tekanan baharu untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi susulan peletakan jawatan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, dengan kredibiliti penggantinya dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk sentimen pasaran.
Penganalisis Ekonomi dan Perniagaan, Dr. Muhammad Ramaditya berkata, pasaran kewangan Indonesia memberi reaksi berbeza terhadap peletakan jawatan Gibran, dengan rupiah menyusut berikutan ketidaktentuan politik, manakala pasaran ekuiti domestik meningkat apabila pelabur menyambut baik peralihan politik yang lebih lancar.
“Dari segi mata wang, ketidaktentuan politik mencetuskan gelombang mengelak risiko serta-merta, menyebabkan nilai rupiah merosot ke paras terendah iaitu 18,247 rupiah bagi setiap dolar AS.
“Sebaliknya, pasaran ekuiti domestik menunjukkan reaksi yang positif, mencerminkan rasa lega dalam kalangan pelabur.
“Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) sebenarnya meningkat 2.66 peratus kepada 5,250.89 mata ketika ditutup memandangkan pelabur saham melihat tindakan Gibran meletak jawatan secara sukarela dapat mengelak konflik berpanjangan di Parlimen berhubung usaha untuk memecatnya,” katanya kepada Bernama.
Gibran secara rasmi mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) semalam, susulan perkembangan kes undang-undang berkaitan kelayakan akademiknya, sekali gus mendorong majlis itu memulakan proses memilih penggantinya.
MPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Presiden Prabowo Subianto dikehendaki mengemukakan dua calon dalam tempoh 14 hari selepas menerima permohonan rasmi daripada majlis berkenaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Walaupun kesan ekonomi yang lebih luas berhubung peletakan jawatan Gibran masih belum dapat disaksikan, Ramaditya yang juga Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran Universiti Indonesia berkata, pelabur masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat, dengan perkembangan seterusnya banyak bergantung kepada pemilihan penggantinya.
“Jika keadaan ekonomi bertambah buruk seiring dengan ketidakstabilan politik yang berterusan, ia boleh mencetuskan krisis melainkan keadaan itu ditangani dengan segera,” katanya.
Peralihan politik itu berlaku ketika pasaran modal Indonesia mendapat perhatian selepas penyedia indeks global MSCI mengumumkan menerusi semakan terbarunya bahawa Barito Pacific (BRPT) dan Bumi Resources Minerals (BRMS) akan dikeluarkan daripada Indeks Standard Global berkuat kuasa 1 Disember.
Perubahan itu dijangka menyebabkan hanya tujuh syarikat Indonesia kekal dalam Indeks MSCI Indonesia berbanding 17 syarikat pada April, berdasarkan fakta indeks terdahulu MSCI dan laporan media kewangan Indonesia.
Semakan terbaru itu menyusuli cadangan daripada MSCI pada 15 Oktober untuk mengklasifikasikan semula Indonesia daripada pasaran sedang pesat membangun kepada pasaran tersendiri, berikutan kebimbangan mengenai ketelusan pemilikan saham dan dakwaan aktiviti dagangan terancang yang disyaki berlaku. Keputusan mengenai cadangan itu dijangka diumumkan menjelang Jun 2027.
Sementara itu, Ramaditya berkata, kredibiliti pengganti Gibran amat penting untuk meyakinkan pelabur terhadap peralihan politik itu, terutamanya ketika Indonesia berdepan penelitian lebih rapi oleh MSCI berhubung tadbir urus dan ketelusan pasaran modal.
“Pertama sekali, penggantinya mesti mempunyai rekod perundangan, pendidikan dan etika yang tidak boleh dipertikaikan untuk meyakinkan pelabur domestik dan antarabangsa, terutamanya ketika pasaran mata wang sangat sensitif terhadap isu tadbir urus dan penyedia indeks global seperti MSCI pula sedang memantau dengan teliti kredibiliti pasaran Indonesia,” katanya.
Selain kredibiliti peribadi, beliau berkata, naib presiden baharu perlu meningkatkan penyelarasan antara agensi kerajaan bagi mengatasi masalah kelewatan dalam menyalurkan belanjawan negara, pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan kerjasama dengan pihak pentadbiran wilayah.
Beliau berkata, penyelarasan yang berkesan penting untuk memajukan ekonomi Indonesia, termasuk pembangunan industri hiliran, peralihan tenaga dan pewujudan pekerjaan formal, selain memastikan perbelanjaan kerajaan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang nyata.
“Peralihan politik yang berjaya memerlukan seorang naib presiden yang memperjuangkan industri berintensifkan buruh dan mengurangkan kekangan yang dihadapi perusahaan kecil, selain memastikan gabungan parti pemerintah kekal bersatu.
“Selain itu ia tidak boleh mengambil jalan mudah dengan meningkatkan perbelanjaan populis yang tidak diperuntukkan dalam belanjawan sehingga boleh menjejaskan disiplin fiskal Indonesia,” katanya. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
