ALOR GAJAH – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan dua pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu.
Kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu dikenali sebagai Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kedua-dua remaja berkenaan yang dibuat oleh seorang guru jam 10.46 malam pada 11 Ogos lalu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, lokasi terakhir kedua-dua pelajar berkenaan dilihat adalah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
“Siti Nur Aaira Aidi mempunyai ketinggian 157 sentimeter dan berat 50 kilogram. Dia berkulit gelap dan beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
“Nur Aisy Humaira Mohd Saad pula mempunyai ketinggian dan berat yang sama, iaitu 157 sentimeter dan 50 kilogram, serta berkulit cerah. Alamat terakhirnya adalah di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan poster hebahan kehilangan yang diedarkan, Siti Nur Aaira dilaporkan kali terakhir memakai baju berwarna hitam, manakala Nur Aisy Humaira pula memakai pakaian berwarna gelap.
Polis kini berusaha mengesan kedua-dua pelajar terbabit dan berharap sebarang maklumat daripada orang ramai dapat membantu menemukan mereka dengan segera.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam perkembangan sama, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut memohon orang ramai mendoakan keselamatan kedua-dua pelajar berkenaan supaya mereka dapat ditemukan dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau berharap doa orang ramai pada pagi Jumaat dapat membantu mengiringi usaha pencarian kedua-dua pelajar berkenaan.
“Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan supaya dua pelajar MRSM Alor Gajah yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan Siti Nur Aaira atau Nur Aisy Humaira diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-818 0106.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Selain itu, poster hebahan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi 013-299 4303, 019-765 2404 atau 019-237 0810.
Orang ramai yang mengetahui sebarang maklumat berkaitan kedua-dua pelajar berkenaan dinasihatkan supaya segera menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha mengesan mereka.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
