SINGAPURA – Alice Huang, individu yang didakwa terbabit dalam kegiatan pengintipan China dalam skandal cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia, dilarang memasuki semula Singapura pada Februari lalu selepas memberikan maklumat tidak tepat ketika siasatan terhadap syarikat Megaspeed.
Singapura mengeluarkan amaran keras dan melarang bekas eksekutif kanan Megaspeed International Pte. Ltd. itu daripada memasuki semula negara itu susulan siasatan polis, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Dalam kenyataan semalam, MHA memaklumkan, Alice Huang, penduduk Hong Kong disiasat Pasukan Polis Singapura (SPF) kerana disyaki terbabit dalam kemungkinan kesalahan di Singapura, memandangkan kedudukannya ketika itu sebagai ketua pegawai eksekutif, pengerusi dan seorang daripada individu utama yang mengawal Megaspeed.
Menurut kementerian itu, Alice Huang yang turut dikenali sebagai Huang Le, tidak berpangkalan di Singapura dan tidak disiasat atas kesalahan pengintipan.
“Pada Februari 2026, SPF selepas berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), membuat kesimpulan bahawa bukti tidak mencukupi untuk membuktikan Huang melakukan sebarang kesalahan berkaitan kemungkinan pengisytiharan tidak tepat yang menjadi subjek siasatan terhadap Megaspeed.
“Bagaimanapun, SPF mendapati Alice Huang telah memberikan maklumat yang diketahuinya tidak tepat kepada pihak polis sepanjang siasatan bagi memperkecilkan peranannya dalam Megaspeed,” menurut MHA.
Menurut kementerian itu, SPF dan Kastam Singapura memulakan siasatan bebas terhadap beberapa syarikat dan pegawai utama mereka, termasuk Megaspeed, sebuah syarikat yang diperbadankan di Singapura, serta individu yang mengawalnya pada Februari 2025.
Kesalahan yang disyaki berlaku di Singapura itu membabitkan kemungkinan pengisytiharan palsu berkaitan pembelian pelayan komputer serta kesalahan lain yang berkaitan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kementerian itu menegaskan bahawa Singapura komited untuk mengekalkan reputasinya sebagai hab perniagaan yang dipercayai dan boleh diharapkan.
“Kami tidak akan membenarkan syarikat atau individu menyalahgunakan persekitaran perniagaan Singapura untuk melakukan penipuan atau amalan tidak jujur.
“Singapura telah mendakwa empat individu dan empat syarikat di mahkamah antara Februari 2025 hingga Julai 2026 atas pelbagai kesalahan, termasuk penipuan melalui representasi palsu berkaitan pembelian pelayan komputer, dengan setiap kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun,” menurut kementerian itu.
Semalam, Nvidia mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jensen Huang meletakkan jawatan ketika tekanan terhadapnya semakin meningkat sejak beberapa hari lalu susulan laporan bahawa lelaki berusia 63 tahun yang sudah berkahwin itu menjalin hubungan sulit dengan Alice Huang, yang disyaki pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menjadi perisik Beijing.
Kementerian itu berkata, Alice Huang, bekas eksekutif syarikat Megaspeed yang adalah pelanggan Nvidia, disiasat berhubung kemungkinan melakukan beberapa kesalahan, termasuk membeli pelayan komputer (server) yang dieksport melalui Singapura ke Malaysia tanpa memasuki pasaran negara itu. – Agensi
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
