IPOH – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Md. Noor Aehawan Mohammad berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar jam 9.50 malam di tepi Jalan Kledang di sini, hasil risikan dijalankan selepas kejadian.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 11.47 pagi ketika mangsa berusia sekitar 30-an bersama keluarganya pulang ke rumah sebelum mendapati suspek berada dalam kediaman mereka.
“Pengadu cuba menahan suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek mengambil sebatang playar dari dalam beg sandang dan menghayunkannya ke arah pengadu, namun terkena tangan kiri isteri pengadu sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, suspek kemudian cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan rumah mangsa, namun terjatuh sebelum meninggalkan motosikal serta beg sandang yang mengandungi peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
Semalam, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergelutan, termasuk situasi suspek dipercayai cuba melarikan diri dari kediaman berkenaan.
Sementara itu, Md Noor berkata, pemeriksaan di kediaman mangsa mendapati tiada barangan dilaporkan hilang, namun tombol pintu hadapan rumah rosak dipercayai akibat diumpil, manakala bilik tidur utama dan almari didapati telah diselongkar dan berselerak.
Beliau berkata, mangsa dan isterinya telah dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – BERNAMA
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
