Sambutan memperingati hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50 di Melaka, ditangguhkan

21 Kerusi Melaka: UMNO Tegas, Ab Rauf Masih Buka Pintu Rundingan?

Dari Meja Editorial

WALAUPUN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat memberikan isyarat jelas UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, pendirian di peringkat negeri ternyata belum ditutup sepenuhnya.

Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, sebaliknya masih membuka ruang kepada rundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi PRN akan datang.

Perbezaan nada ini menarik untuk diperhatikan kerana ia menunjukkan, walaupun UMNO/BN mempunyai asas tuntutan berdasarkan kemenangan 21 kerusi pada PRN lalu, soal pembahagian kerusi bagi pilihan raya akan datang belum dimuktamadkan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Ab Rauf sendiri mengakui rundingan masih terbuka, namun beliau mahu sebarang perbincangan mengenai kerjasama politik dilakukan melalui saluran rasmi dan meja rundingan, bukan melalui kenyataan bersambung di media sosial.

Bagi beliau, perundingan politik tidak sepatutnya dijadikan bahan perdebatan terbuka sebelum pihak yang berkepentingan sendiri duduk bersemuka dan mencapai persefahaman.

“Hentikan seketika perundingan politik melalui media sosial. Kita berunding di meja perundingan yang lebih bijaksana,” demikian pendirian Ab. Rauf ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita di pekarangan Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Ab. Rauf yang juga Ahli DUN Tanjung Bidara dilaporkan berkata, BN Melaka akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu, termasuk kerusi yang kini dikuasai parti berkenaan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Namun, dalam masa sama, beliau tidak memberikan kata putus mengenai pembahagian kerusi dengan mana-mana parti yang mungkin menjadi rakan kerjasama.

Sebaliknya, beliau menegaskan, segala kemungkinan masih perlu dinilai dan dikaji bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat memberikan manfaat serta pulangan politik yang baik kepada kedua-dua pihak.

Pendirian ini secara tidak langsung memperlihatkan tuntutan mempertahankan 21 kerusi tidak semestinya bermakna pintu rundingan telah ditutup.

Sebaliknya, BN mahu masuk ke meja rundingan dengan kedudukan politiknya sendiri, sementara pada masa sama tidak menolak kemungkinan wujudnya persefahaman dengan parti lain.

Tuntutan kerusi adalah satu perkara, manakala pembentukan strategi kemenangan adalah perkara yang lain.

Jika matlamat utama ialah membentuk kerajaan, setiap parti perlu melihat bukan sahaja jumlah kerusi yang mahu dipertahankan, tetapi juga kerusi yang mempunyai peluang terbaik untuk dimenangi.

Menurut Ab. Rauf, PRN Melaka berada dalam kerangka “BN Plus”, yang memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk datang berbincang. Pendekatan itu memberikan gambaran BN negeri tidak menutup kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain, termasuk parti yang kini berada di luar kerajaan negeri.

Namun, kerjasama tersebut perlu dibincangkan secara matang dan tidak ditentukan melalui perang kenyataan di media sosial.

Katanya, mana-mana pihak yang mahu berunding dialu-alukan, tetapi tidak perlu membuat kenyataan terbuka mengenai pembahagian kerusi sebelum perbincangan rasmi diadakan.

Menurut beliau, sehingga kini belum ada perundingan rasmi dengan PAS. Jawapan itu penting kerana sebelum ini wujud pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN), khususnya menjelang PRN Melaka.

Ab. Rauf bagaimanapun memilih untuk tidak melayan spekulasi tersebut dan menegaskan perundingan rasmi belum berlaku.

“Kita tidak ada perundingan secara rasmi lagi. Belum lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta semua parti yang mempunyai persefahaman ataupun belum mempunyai persefahaman supaya membuka ruang untuk berbincang secara baik.

Kenyataan Ab Rauf mengenai media sosial juga mempunyai dimensi politik tersendiri. Dalam politik semasa, media sosial sering menjadi medan awal untuk menguji reaksi awam, menghantar isyarat kepada lawan politik dan kadangkala meletakkan tuntutan sebelum rundingan sebenar berlaku.

Namun, bagi Ab. Rauf, pendekatan sedemikian boleh menghasilkan persepsi yang tidak sihat. Perkara yang belum dibincangkan di meja rundingan boleh kelihatan seolah sudah menjadi keputusan muktamad apabila diperdebatkan secara terbuka.

Lebih buruk, kenyataan yang dibuat secara berasingan boleh mengecilkan ruang kompromi antara parti. Sebab itu, beliau mahu semua pihak kembali kepada asas politik yang lebih konvensional, duduk bersama, bincang, tawar-menawar dan mencari titik persamaan.

Dalam soal pembahagian kerusi, pendekatan sebegini tentunya lebih praktikal kerana setiap parti mempunyai tuntutan, kepentingan dan kawasan sasaran masing-masing.

Satu lagi perkara yang diketengahkan Ab. Rauf ialah keengganan BN menjadikan keputusan pilihan raya Parlimen sebagai ukuran mutlak bagi menentukan pembahagian kerusi pada PRN Melaka akan datang.

Beliau berpandangan dinamika politik Melaka tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya Parlimen. Ini kerana BN, katanya, terus berusaha mendekati rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Pendekatan itu membawa kepada satu hujah politik yang penting. Prestasi sesebuah parti di pilihan raya Parlimen tidak semestinya diterjemahkan secara terus kepada prestasinya dalam pilihan raya negeri.

Pengundi boleh membuat keputusan berbeza berdasarkan calon, isu setempat, rekod wakil rakyat, kekuatan jentera dan sentimen terhadap kerajaan negeri. Oleh itu, keputusan pilihan raya Parlimen tidak semestinya boleh dijadikan formula mudah untuk menentukan siapa patut bertanding di sesuatu kerusi DUN.

Di sinilah persoalan mengenai hubungan BN dan PN di Melaka menjadi menarik. Ab Rauf mengesahkan setakat ini belum ada rundingan rasmi dengan PAS, menunjukkan sebarang kemungkinan kerjasama masih berada pada peringkat terbuka.

Namun, apabila beliau menyebut “siapa sahaja boleh datang berunding”, mesej politiknya cukup jelas, pintu tidak ditutup. BN Melaka nampaknya mahu mempertahankan kedudukan sedia ada, tetapi pada masa sama tidak mahu membakar jambatan dengan mana-mana parti yang mungkin diperlukan dalam percaturan lebih besar.

Dalam pilihan raya, kemenangan tidak semestinya bergantung kepada siapa memiliki paling banyak tuntutan kerusi. Ia bergantung kepada sejauh mana parti-parti yang bertanding mampu mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan memaksimumkan jumlah kerusi yang boleh dimenangi.

Jika dua atau lebih parti mempunyai sokongan yang hampir sama di sesuatu kawasan, pertandingan tiga penjuru atau lebih boleh memberi kelebihan kepada pihak lain.

Justeru, rundingan kerusi bukan sekadar soal siapa mendapat kerusi berapa banyak. Ia sebenarnya adalah soal bagaimana mengurus kekuatan politik supaya tidak berlaku pertembungan yang merugikan.

Dalam konteks ini, angka 21 kerusi yang mahu dipertahankan BN boleh dilihat sebagai titik permulaan kepada rundingan, bukan semestinya titik akhir. BN mempunyai asas untuk mempertahankan kerusi berkenaan kerana ia merupakan kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu.

Namun, sebarang formula kerjasama baharu tetap memerlukan pertimbangan terhadap perubahan sokongan pengundi, kekuatan calon, prestasi penyandang, keadaan setempat dan strategi keseluruhan gabungan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *