TEHRAN – Wakil dari lebih 100 negara dijangka menghadiri upacara pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang bermula di Tehran semalam, lapor penyiar berita berkaitan kerajaan Iran, IRIB.
Khamenei, 86, terbunuh dalam serangan udara bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas kompleks kediamannya pada 28 Februari lalu, hari pertama perang AS-Israel terhadap Iran.
Upacara memperingati pemimpin tertinggi Iran itu akan berlangsung selama tujuh hari merangkumi siri perarakan dan majlis keagamaan di beberapa bandar utama di Iran dan Iraq.
Pengebumian Khamenei pada asalnya dijadualkan pada Mac, namun ditangguhkan susulan konflik yang berlarutan di Iran.
Majlis rasmi bermula di Tehran pada Jumaat sebelum diteruskan dengan upacara awam pada Sabtu dan Ahad.
Keranda Khamenei bersama beberapa anggota keluarganya akan ditempatkan di Grand Mosalla, antara kompleks solat terbesar di Iran, bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Perarakan pengebumian kemudian akan bergerak ke bandar suci Qom sebelum diteruskan ke Iraq, termasuk di Najaf dan Karbala.
Jenazah Khamenei dijadual dibawa pulang bagi majlis pengebumian terakhir di Makam Imam Reza, Mashhad, pada Jumaat depan.
Mashhad juga merupakan bandar kelahiran beliau.
Pemimpin negara dijangka hadir
Antara ketua negara dan kerajaan yang mengesahkan kehadiran ialah Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Presiden Tajikistan, Emomali Rahmon; Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan serta Presiden Georgia, Mikheil Kavelashvili.
Pakistan yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam usaha pengantaraan antara Washington dan Tehran turut menghantar Panglima Tentera Daratnya, Field Marshal Asim Munir serta Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi.
Delegasi kanan dari Asia, Rusia dan China
Selain ketua negara, beberapa negara turut menghantar pemimpin kanan kerajaan.
Turkiye menghantar Naib Presidennya, Cevdet Yilmaz, manakala India diwakili Timbalan Menteri Luar, Pabitra Margherita dan Gabenor Bihar, Syed Ata Hasnain.
China pula menghantar He Wei, Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, manakala Rusia diwakili Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev yang juga bekas Presiden negara itu.
Afghanistan menghantar Menteri Luarnya, Amir Khan Muttaqi selain Timbalan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi, Abdul Ghani Baradar.
Bangladesh turut dijangka diwakili Speaker Parlimennya, Hafiz Uddin Ahmed.
Malaysia pula diwakili oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Antara pengebumian terbesar dalam sejarah moden
Upacara pengebumian Khamenei dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah moden dan berpotensi melepasi jumlah kehadiran ketika pengebumian Ayatollah Ruhollah Khomeini pada 1989 yang menghimpunkan kira-kira 10 juta pelayat.
Bagaimanapun, Pemimpin Tertinggi Iran ketika ini yang juga anak Khamenei, Mojtaba Khamenei dilaporkan tidak akan menghadiri upacara tersebut atas faktor keselamatan susulan ancaman pembunuhan terkini oleh Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang komander kanan tentera Iran memberi amaran kepada AS dan Israel supaya tidak mengambil sebarang tindakan ketenteraan ketika negara itu bersiap sedia untuk majlis pengebumian berkenaan.
Komander Markas Pusat Khatam al-Anbiya, Ali Abdollahi berkata, Iran akan memberi tindak balas keras terhadap sebarang ancaman atau pencerobohan ke atas negara itu.
“Kami memberi amaran kepada musuh-musuh Iran, khususnya AS dan rejim Zionis (Israel), agar tidak membuat sebarang kesilapan percaturan kerana angkatan bersenjata Iran bersedia memberikan tindak balas tegas terhadap sebarang ancaman,” katanya. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L