Memupuk Benteng Pertahanan Diri: Kempen S.A.F.E Kelab Prime Mover UiTM Seremban

Teks: Nawwar Hafidz Rahimi

Foto: Nur Khayrin Azman

JOHOR – Di sebalik keceriaan dan gelak tawa, ribuan kanak-kanak di negara ini sebenarnya berdepan ketakutan akibat penderaan yang sering tersembunyi daripada perhatian masyarakat.

Lebih membimbangkan, statistik kes penderaan kanak-kanak mengikut rekod terbaharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus mencatatkan angka meresahkan apabila sebanyak 1,575 kes dilaporkan pada suku keempat 2025, meliputi penderaan fizikal, seksual dan emosi.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Menyedari keperluan untuk membendung gejala itu sejak usia muda, Kelab Prime Mover, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Start Awareness From Early (S.A.F.E) for Children di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tangkak pada 10 November lalu.

Seramai 14 mahasiswa hadir menyampaikan pendedahan serta penerangan komprehensif mengenai keselamatan diri, pencegahan penderaan dan gangguan fizikal, emosi serta seksual.

Program ini digerakkan menerusi tiga modul utama, iaitu penderaan seksual kanak-kanak, penderaan fizikal serta buli kanak-kanak dan pengabaian emosi kanak-kanak.

Dalam modul penderaan seksual, peserta diperkenalkan dengan konsep Sentuhan Selamat dan Sentuhan Tidak Selamat agar mereka lebih peka terhadap privasi tubuh badan, sekali gus memahami diri mereka berhak untuk menolak sebarang sentuhan yang tidak selesa.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Di samping itu, kaedah yang mudah bagi kanak-kanak untuk mempraktikkan dengan segera apabila berhadapan dengan ancaman atau gangguan iaitu kaedah “Say No, Yell, Run, Tell” turut diajar kepada mereka.

Di samping itu, modul ini menjelaskan definisi, pelbagai bentuk penderaan, kesan jangka panjang, serta peranan penting guru dan ibu bapa dalam membendung gejala ini.

Modul penderaan fizikal dan buli pula menggariskan perbezaan antara disiplin dan penderaan. Jenis-jenis buli termasuk buli siber dan buli fizikal serta teknik untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa dijelaskan kepada murid-murid ini.

Selain itu, isu pengabaian emosi di mana ibu bapa atau penjaga gagal memberikan perhatian, kasih sayang serta sokongan emosi yang kanak-kanak perlukan juga turut menjadi satu penderaan yang memberi kesan jangka panjang yang negatif.

Fasilitator menjelaskan punca pengabaian emosi ini adalah seperti masalah hubungan keluarga, kesibukan atau keletihan bekerja, tekanan kewangan serta gangguan kesihatan mental.

Bagi mengatasi tekanan emosi, beberapa strategi dikongsikan termasuk mengingatkan diri situasi tersebut bukan salah mereka dan juga mengamalkan pemikiran positif.

Penderaan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak, malah turut mengganggu prestasi akademik dan interaksi sosial mereka.

Trauma yang dialami boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang serius pada masa hadapan.

Oleh itu, pendidikan dan kesedaran awal melalui program seperti S.A.F.E adalah penting untuk membina ketahanan diri kanak-kanak dan menggalakkan mereka melaporkan sebarang penderaan.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Irfan Haziq Abdul Razak, kempen ini dianjurkan berteraskan matlamat untuk memupuk kesedaran awal dalam diri kanak-kanak agar mereka lebih peka terhadap hak peribadi serta berani menyuarakan aduan sekiranya berlaku penderaan.

Turut menyokong usaha tersebut, Penasihat Kelab, Khairolizwan Harry yang menyatakan, kesedaran adalah langkah pertama dalam membendung jenayah terhadap kanak-kanak.

Menurut beliau, pembabitan aktif mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban turun ke sekolah merupakan satu tanggungjawab sosial dalam memastikan modul keselamatan diri dapat disampaikan secara berkesan dan mudah difahami oleh kanak-kanak ini.

Sejajar dengan wawasan tersebut, penglibatan aktif seramai 187 murid SK Bandar Tangkak sepanjang program berlangsung jelas menyerlahkan sambutan hangat daripada pihak sekolah.

Menerusi usaha berterusan ini, Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban kekal berdedikasi dalam menyebarkan kesedaran serta membendung isu penderaan kanak-kanak dari akar umbi agar mereka lebih cakna dan peka terhadap sebarang situasi yang berbahaya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *