Piala Dunia 2026: Perlawanan England-Mexico mungkin diawalkan kerana faktor cuaca- FIFA

LONDON – Perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia antara England dan Mexico dijangka dijadualkan semula kepada lebih awal, susulan kebimbangan terhadap keadaan cuaca di Mexico City.

Perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Azteca itu sebelum ini ditetapkan bermula pada jam 1 pagi BST Isnin (6 petang waktu tempatan Ahad), namun kini dipercayai akan dianjak ke jam 7 malam BST Ahad.

Menurut laporan, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sedang mengadakan perbincangan berhubung jadual perlawanan berkenaan, dengan ramalan cuaca menunjukkan kemungkinan berlakunya ribut petir dan hujan lebat pada waktu asal sepak mula.

Setakat ini, FIFA belum memberikan penjelasan rasmi berhubung cadangan perubahan tersebut.

Mengikut peraturan keselamatan kejohanan, sebarang sambaran petir yang dikesan dalam lingkungan lapan batu dari stadium akan menyebabkan perlawanan ditangguhkan secara automatik selama 30 minit.

Peraturan Piala Dunia 2026 turut memperuntukkan kuasa kepada FIFA untuk membatalkan, menjadualkan semula atau memindahkan lokasi perlawanan mengikut budi bicaranya.

Badan induk bola sepak dunia itu bagaimanapun menegaskan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan rundingan masih berlangsung.

Persatuan Bolasepak England (FA) pula meneruskan persiapan seperti biasa pada Jumaat, termasuk perbincangan berkaitan operasi dan keselamatan menjelang perlawanan berkenaan.

Laporan media tempatan di Mexico yang mula-mula membangkitkan kemungkinan perubahan jadual itu dikatakan mengejutkan pihak FA dan rakan sejawat mereka di Mexico.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan perubahan waktu sepak mula, pemain sayap England, Marcus Rashford mengakui, situasi itu bukan sesuatu yang ideal.

“Bagi kami, persiapan tetap sama. Kami perlu kekal fokus dan bersedia menghadapi apa sahaja.

“Itu antara kekuatan pasukan ini. Semua pemain dan pegawai pasukan sentiasa bersedia menghadapi cabaran yang datang. 

“Jadi walaupun ia bukan situasi ideal, ia bukan sesuatu yang terlalu membimbangkan,” katanya.

Menjelang pertemuan tersebut, tumpuan turut terarah kepada kelebihan Mexico di Stadium Azteca serta cabaran altitud tinggi yang bakal dihadapi pemain England.

Stadium ikonik itu terletak kira-kira 2,240 meter di atas paras laut dan Mexico hanya tewas dua kali dalam 89 perlawanan yang dimainkan di venue berkenaan.

Pada ketinggian sedemikian, tekanan atmosfera yang lebih rendah menyebabkan udara menjadi lebih nipis dan kandungan oksigen yang diserap ke dalam tubuh berkurangan.

Keadaan itu boleh memberi kesan ketara terhadap prestasi fizikal pemain, termasuk peningkatan kadar denyutan jantung, sesak nafas, dehidrasi serta keletihan yang lebih cepat.

Sekiranya perlawanan dimulakan lebih awal pada tengah hari waktu tempatan, suhu pula dijangka meningkat sehingga sekitar 26 darjah Celsius berbanding 20 darjah Celsius seperti yang diramalkan pada waktu petang.

Perubahan itu berpotensi menjadikan keadaan perlawanan lebih mencabar buat kedua-dua pasukan.

Sebelum ini, perlawanan peringkat kumpulan antara Perancis dan Iraq di Philadelphia terpaksa ditangguhkan lebih dua jam susulan kebimbangan keselamatan akibat cuaca buruk.

Kejohanan Piala Dunia Kelab yang berlangsung di Amerika Syarikat tahun lalu turut menyaksikan enam gangguan cuaca besar sepanjang 63 perlawanan.

Walaupun perubahan jadual lebih awal mungkin disambut baik oleh penyokong England di tanah air, keputusan yang dibuat pada saat akhir berpotensi menimbulkan kesulitan kepada mereka yang sudah berada di Mexico.

Lebih 3,000 penyokong England dijangka menghadiri aksi tersebut di Stadium Azteca yang mempunyai kapasiti 87,000 tempat duduk.

Sebahagian besar daripada mereka sudah merancang perjalanan sejak beberapa minggu atau bulan lalu dan kini mungkin perlu membuat penyesuaian baharu bagi memastikan tidak terlepas perlawanan.

Di England pula, kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah bagi memudahkan penyokong mengikuti aksi tersebut.

Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer, pada Khamis mengumumkan undang-undang khas diluluskan bagi membolehkan pub di England dan Wales beroperasi sehingga jam 5 pagi pada Isnin.

Malah, pengurus England, Thomas Tuchel turut bergurau dengan menggesa ibu bapa membenarkan anak-anak mereka berjaga malam untuk menonton perlawanan itu dan menyediakan surat alasan untuk tidak hadir ke sekolah keesokan harinya. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *