JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengharungi jadual kempen yang padat dengan menghadiri sekurang-kurangnya 15 program sepanjang dua hari di Johor sebagai usaha memperkukuh sokongan terhadap calon PH yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Beliau yang juga Perdana Menteri dijadual memulakan siri jelajah politiknya pada Sabtu (hari ini) sebelum meneruskan kempen sehingga esok (Ahad) malam, melibatkan pelbagai lokasi di seluruh negeri termasuk Kulai, Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Segamat, Tangkak dan Simpang Renggam.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, Anwar memaklumkan kehadirannya ke Johor bertujuan memberikan dukungan penuh kepada semua 56 calon PH, selain menyuntik semangat kepada jentera parti yang kini giat menggerakkan kempen di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut beliau, kehadiran kepimpinan pusat di negeri itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan momentum sokongan rakyat terhadap PH terus diperkukuh menjelang hari pengundian.
“Insya-Allah, esok (Sabtu) dan Ahad akan berada di Johor bagi memberikan dukungan buat calon-calon serta jentera HARAPAN. Saya mengajak seluruh warga Johor untuk turut serta. Semoga ikhtiar ini dipermudah dan diberkati,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Berdasarkan jadual rasmi yang dikongsikan, Anwar akan memulakan siri kempen pada Sabtu dengan menghadiri Program Kita Genk MADANI x Anak Muda Bukit Batu di Kulai pada jam 3.30 petang sebagai platform mendekati golongan belia.
Selepas itu, beliau dijadual menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Pimpinan Masyarakat Johor di Johor Bahru jam 4.50 petang sebelum meneruskan program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) di Tampoi jam 6 petang.
Pada sebelah malam, jadual Perdana Menteri semakin padat apabila beliau akan menghadiri Malam Kebudayaan India Harapan Bersama PMX di Taman Tampoi Indah pada jam 7.45 malam, diikuti Majlis Makan Malam Komuniti Cina Bersama PMX jam 8.35 malam.
Anwar kemudiannya dijadual menghadiri Dialog Belia Johor di Dewan Felda Ulu Tebrau pada jam 9.30 malam sebelum menutup jadual kempen hari pertama dengan menghadiri program Malam Anak Muda Kempas jam 10.45 malam.
Pada Ahad, jelajah politik beliau akan diteruskan seawal jam 8.55 pagi menerusi program santai sarapan bersama masyarakat DUN Layang-Layang di Warung Pak Din, Kampung Sahri, Simpang Renggam.
Beliau kemudian dijadual menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama PMX di DUN Senggarang, Batu Pahat pada jam 10 pagi sebelum menghadiri Kenduri Rakyat Bersama PMX di Semerah jam 11 pagi.
Siri kempen diteruskan dengan program Temu Anwar serta Pelancaran Sukarelawan DUN Bukit Naning di Muar pada jam 12.15 tengah hari yang dijangka menghimpunkan penyokong dan jentera parti dari kawasan berkenaan.
Pada sebelah petang, Anwar akan menyertai Jelajah Harapan Felda Bersama PMX di Dataran Putra Palong Timur 2 sebelum meneruskan sesi ramah mesra bersama masyarakat di DUN Pemanis dan DUN Gambir.
Beliau dijadual menamatkan siri jelajah dua hari itu menerusi program kemuncak Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan di DUN Serom, Sungai Mati, Tangkak pada jam 9 malam.
Jelajah intensif itu dilihat sebagai antara usaha terakhir kepimpinan tertinggi PH untuk memperkukuh sokongan pengundi di Johor menjelang hari pengundian, selain memperhebat gerak kerja jentera di semua kawasan yang ditandingi gabungan berkenaan.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai, manakala proses pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. Pilihan raya kali ini menyaksikan semua parti yang bertanding giat memperhebat kempen bagi meraih sokongan pengundi dalam menentukan pembentukan kerajaan negeri bagi penggal akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L