Oleh: Editorial ND
CUKUPLAH. Tidak perlulah setiap perkara yang berkaitan dengan Datuk Seri Najib Razak dijadikan gelanggang untuk melepaskan kemarahan, mempertahankan ego politik atau membuktikan siapa lebih lantang memperjuangkan sesuatu pendirian.
Najib memang tidak kebal daripada undang-undang. Beliau juga tidak sepatutnya diberikan layanan istimewa hanya kerana pernah menjadi Perdana Menteri. Jika ada kesalahan, biarlah proses undang-undang berjalan dan keputusan mahkamah dihormati.
Namun, satu perkara yang perlu difikirkan ialah setiap kali isu Najib dibangkitkan, kesannya tidak semestinya terhenti kepada dirinya seorang. Ada pihak lain yang akhirnya terpaksa berdepan akibat daripada pertelingkahan politik yang berpanjangan ini.
Lihat sahaja apa yang berlaku kebelakangan ini. Kerana isu Najib, pemimpin kanan DAP, Anthony Loke turut terheret dalam kontroversi sehingga timbul persoalan mengenai kedudukannya dalam kepemimpinan parti dan Kabinet.
Beliau dikaitkan dengan desakan meletakkan jawatan, meskipun status dan perkembangan sebenar perkara itu masih memerlukan penjelasan lanjut.
Kerana isu Najib juga, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ yang dimuat naik di Facebook.
Beliau memaklumkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sajak itu dipercayai menyentuh kontroversi berkaitan pelaksanaan baki hukuman penjara Najib di bawah tahanan rumah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Hassan mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, manakala pihak berkuasa pula berhak menjalankan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang. Namun, perkembangan ini memperlihatkan bagaimana isu yang asalnya berkisar pada seorang bekas Perdana Menteri boleh melebar sehingga melibatkan wakil rakyat daripada parti kerajaan sendiri.
Lebih menarik, tempias politik isu Najib turut dikaitkan dengan perkembangan tiga pilihan raya negeri, iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, yang menyaksikan PH berdepan tekanan dalam persaingan politik, sedangkan BN mencatat kemenangan dan kerjasama dengan PN turut membentuk landskap baharu.
Keputusan pilihan raya itu tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Najib. Pengundi mempunyai pelbagai pertimbangan, termasuk prestasi kerajaan, calon, isu setempat dan hubungan antara parti. Namun, tidak dapat dinafikan kontroversi berkaitan Najib terus menjadi salah satu isu yang digunakan dalam perbahasan politik dan kempen.
Di sinilah PH perlu melakukan muhasabah. Sampai bila Najib hendak dijadikan ukuran kepada segala-galanya? Sampai bila setiap perkembangan yang tidak memihak kepada PH perlu dikaitkan dengan seorang individu yang sudah pun melalui proses perbicaraan dan hukuman mahkamah?
Najib bukan lagi Perdana Menteri. Beliau tidak mengetuai kerajaan, tidak menentukan dasar pentadbiran negara dan tidak mempunyai kuasa eksekutif seperti ketika berada di Putrajaya. Namun, namanya masih menjadi bahan perdebatan politik yang seolah tidak pernah menemui penghujung.
Ironinya, semakin kuat sesetengah pihak menjadikan Najib sasaran, semakin panjang pula perdebatan yang terpaksa ditanggung oleh PH sendiri.
Lebih membimbangkan ialah gelagat sebahagian penyokong dan kelompok yang terlalu ghairah mempertahankan PH di media sosial. Mereka seolah merasakan setiap kritikan terhadap kerajaan mesti dijawab, setiap pandangan berbeza mesti disanggah dan setiap individu yang mempersoalkan sesuatu keputusan perlu diserang.
Akhirnya, ruang media sosial yang sepatutnya menjadi medan penerangan bertukar menjadi gelanggang pertengkaran. Ada menulis tanpa memikirkan kesan, ada membuat tuduhan tanpa memahami keseluruhan isu, malah ada terlalu bersemangat mempertahankan pemimpin sehingga kenyataan mereka sendiri mengundang masalah kepada parti.
Bukankah lebih baik tenaga itu digunakan untuk menjelaskan dasar kerajaan, mempertahankan pencapaian yang boleh dibuktikan dan menjawab persoalan rakyat secara matang?
PH perlu memahami rakyat tidak mengundi semata-mata untuk melihat parti politik terus bertelagah mengenai Najib. Rakyat mahu tahu apa kerajaan lakukan untuk mereka. Mereka mahu melihat kos sara hidup ditangani, peluang pekerjaan diperluas, ekonomi diperkukuh dan kebajikan rakyat diberikan perhatian.
Kalau setiap hari politik negara dipenuhi perbalahan mengenai Najib, siapa pula yang mahu bercakap mengenai kehidupan rakyat?
Jangan sampai isu seorang individu menenggelamkan segala usaha kerajaan. Jangan sampai pemimpin sendiri terpaksa menghabiskan masa menjawab kontroversi yang sepatutnya boleh dielakkan. Jangan sampai penyokong yang kononnya mahu mempertahankan kerajaan menjadi punca kerajaan semakin sukar mempertahankan keyakinan rakyat.
Perlu diingat, Najib boleh dikritik, boleh dipersoalkan dan boleh dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang. Tetapi jangan jadikan setiap perkara berkaitan dirinya sebagai alasan untuk membuka pertelingkahan baharu.
Jika ada isu undang-undang, biarkan mahkamah menentukan. Jika ada persoalan perlembagaan, biarkan proses perundangan menjawabnya. Jika ada perbezaan pandangan politik, berbahaslah dengan fakta dan hujah. Tidak perlu semua orang mahu menjadi jaguh dalam isu Najib.
PH sepatutnya lebih sibuk membina keyakinan rakyat daripada menghidupkan semula pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan. Kerajaan perlu dinilai berdasarkan prestasi sendiri, bukannya terus menjadikan sejarah dan kontroversi seorang bekas Perdana Menteri sebagai perisai setiap kali berdepan kritikan.
Akhirnya, Najib mungkin hanya seorang individu dalam percaturan politik negara, tetapi cara sesetengah pihak mengendalikan isu berkaitan dirinya boleh membawa kesan jauh lebih besar kepada parti, pemimpin dan kerajaan.
Cukuplah. Jangan kerana terlalu ghairah mahu menjatuhkan Najib, akhirnya orang lain pula yang terpaksa menanggung akibatnya dan jangan pula apabila rakyat mula mempersoalkan prestasi kerajaan, Najib sekali lagi dijadikan jawapan kepada segala persoalan.
Rakyat mahu sebuah kerajaan yang bekerja, bukan kerajaan sepanjang masa masih bertarung dengan bayang-bayang bekas Perdana Menteri. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
