UMNO boleh berkuasa semula jika dapat bongkar punca 1MDB gagal, kata Zaid

Dr Samsuri disifatkan berpotensi pimpin PN, pengkritik diminta nilai prestasi pilihan raya terlebih dahulu

MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai potensi untuk menerajui gabungan itu pada masa depan berdasarkan sifat kepimpinan yang tenang, jujur dan berintegriti.

Pandangan itu dikongsikan Datuk Zaid Ibrahim selepas menghadiri majlis penyampaian watikah kepada calon-calon Pas yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Muar.

Menurutnya, perjalanan ke Muar yang mengambil masa lebih lama akibat kesesakan lalu lintas berbaloi kerana beliau berpeluang menyaksikan sendiri majlis penyerahan watikah kepada calon-calon Pas, selain bertemu dengan Dr. Ahmad Samsuri.

Beliau berkata, Naib Presiden Pas itu adalah antara tokoh yang sering menjadi sasaran kritikan daripada kelompok dikaitkan dengan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk dakwaan beliau tidak memiliki faktor “wow” atau karisma yang mampu menarik sokongan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berpandangan landskap politik negara ketika ini memerlukan pemimpin yang mengutamakan integriti, kejujuran dan empati berbanding hanya bergantung kepada personaliti atau daya tarikan semata-mata.

“Rakyat sudah cukup dengan pemimpin yang mempunyai karisma atau faktor ‘wow’, apa juga maksud sebenar istilah itu,” katanya.

Katanya, keputusan kaji selidik yang dikeluarkan Merdeka Centre tidak semestinya menjadi penentu kepada kemampuan seseorang pemimpin untuk memimpin gabungan politik.

Sebaliknya, beliau percaya Dr. Ahmad Samsuri mempunyai keupayaan untuk membawa PN mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, keyakinan itu didasarkan kepada persepsi Menteri Besar Terengganu tersebut adalah seorang pemimpin yang tulen, jujur dan mempunyai sifat empati, selain diyakini mampu mengelakkan gabungan itu daripada dikaitkan dengan isu rasuah berskala besar serta penyalahgunaan kuasa.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kaji selidik mengenai kepimpinan politik seharusnya memberi penekanan kepada ciri-ciri kepimpinan yang benar-benar diharapkan oleh rakyat, bukan sekadar aspek populariti atau daya tarikan individu.

“Jika soalan mengenai ciri pemimpin yang diinginkan rakyat diajukan dalam kaji selidik, mungkin keputusan yang diperoleh berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir penyokong yang dikaitkan dengan Muhyiddin dengan menyatakan mereka sewajarnya menunggu keputusan PRN Johor terlebih dahulu sebelum terus memperlekehkan kepimpinan Pas, khususnya Dr. Ahmad Samsuri.

Katanya, prestasi parti-parti komponen dalam pilihan raya negeri itu, termasuk jumlah kerusi yang berjaya dimenangi Bersatu, wajar dijadikan ukuran sebelum sebarang penilaian dibuat terhadap kepimpinan dalam PN.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *