MELAKA – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai mengamuk dengan menyerang seorang pemandu di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang di sini mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Insiden yang berlaku pada waktu petang itu turut menyebabkan lalu lintas di kawasan berkenaan terganggu apabila tindakan agresif suspek berlaku di hadapan pengguna jalan raya lain yang sedang menunggu lampu isyarat.
Rakaman video berdurasi kira-kira seminit yang tersebar di media sosial memaparkan sebuah Proton Saga berhenti secara mengejut di tengah jalan sebelum pemandunya keluar daripada kenderaan dan berjalan menuju ke sebuah kereta yang berada di persimpangan tersebut.
Suspek kemudian dilihat beberapa kali menumbuk cermin tingkap bahagian kiri kereta berkenaan sebelum membuka pintu kenderaan itu dan bertindak memukul serta menendang pemandunya.
Kejadian itu berlaku di hadapan orang ramai yang melalui lokasi berkenaan, manakala beberapa pengguna jalan raya dilihat hanya mampu menyaksikan insiden tersebut dari dalam kenderaan masing-masing.
Suasana menjadi semakin tegang apabila seorang wanita yang dipercayai isteri suspek bergegas mendapatkan lelaki terbabit sambil mendukung seorang bayi.
Wanita itu dilihat cuba menenangkan keadaan serta menghalang lelaki berkenaan daripada meneruskan tindakan agresif terhadap mangsa.
Bagaimanapun, suspek yang dipercayai masih berang sekali lagi menghampiri mangsa dan memarahinya sebelum keadaan akhirnya berjaya dikawal.
Rakaman kejadian yang dipercayai dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang berada di belakang lokasi kejadian kemudiannya dimuat naik ke media sosial dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan ganas suspek serta menggesa pengguna jalan raya mengawal emosi ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.20 petang semalam dipercayai berpunca daripada salah faham serta rasa tidak puas hati ketika menggunakan jalan raya.
Menurut beliau, kedua-dua individu yang terbabit telah dipanggil ke balai polis bagi membantu siasatan dan dirakam keterangan berhubung insiden tersebut.
“Hasil pertemuan yang diadakan, pengadu dan suspek telah mencapai persefahaman serta berdamai secara baik.
“Kedua-dua pihak juga memaklumkan mereka tidak berhasrat untuk memanjangkan perkara ini dan memilih untuk menyelesaikannya secara aman,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak turut menyatakan kekesalan atas kejadian yang berlaku serta berjanji akan lebih berhati-hati dan mengawal emosi ketika berada di jalan raya pada masa hadapan.
Polis pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi ketika memandu kerana perselisihan faham di jalan raya boleh mengundang risiko kepada keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L