KUALA LUMPUR – Penyedia penyelesaian pembersihan dan rawatan permukaan berketepatan tinggi, MClean Technologies Bhd (MClean) memperoleh kelulusan pemegang saham untuk melaksanakan strategi pengurusan modal yang lebih proaktif.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-16 yang diadakan, pemegang saham meluluskan kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk menerbitkan dan memperuntukkan saham baharu sehingga 10 peratus daripada jumlah saham yang telah diterbitkan oleh syarikat.
Mandat di bawah Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016 itu memberi MClean fleksibiliti lebih luas untuk melaksanakan pengumpulan dana pada masa hadapan bagi menyokong keperluan modal kerja.
Langkah ini turut membolehkan syarikat meneroka peluang pelaburan baharu serta memperkukuh keupayaan memenuhi keperluan perniagaan dengan lebih pantas dan berkesan.
Pada masa sama, pemegang saham turut meluluskan cadangan program pembelian balik saham yang membolehkan syarikat memperoleh sehingga 10 peratus daripada modal saham yang diterbitkan dan dibayar pada bila-bila masa.
Program berkenaan menyediakan alat pengurusan modal tambahan bagi meningkatkan nilai pemegang saham, tertakluk kepada keadaan pasaran, keperluan kawal selia serta kedudukan kewangan semasa syarikat.
AGM ke-16 itu turut menyaksikan pemegang saham menerima Penyata Kewangan Beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), bersama Laporan Pengarah dan Juruaudit.
Turut diluluskan ialah resolusi pemilihan semula Muhammad Radzi Embong sebagai Pengarah Syarikat serta pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Pelaksanaan strategi pengurusan modal ini hadir selepas MClean mencatat prestasi kewangan kukuh bagi TK2025 dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 92.43 peratus kepada RM12.33 juta, manakala hasil meningkat 15.04 peratus kepada RM70.54 juta.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif MClean, Datuk Dr Terence Tea Yeok Kian berkata, sokongan pemegang saham mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Lembaga Pengarah, tadbir urus korporat rta hala tuju strategik syarikat.
“TK2025 merupakan tahun penting apabila kami mengukuhkan prestasi kewangan dan terus membina platform operasi yang lebih berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan media berhubung resolusi mesyuarat berkenaan.
Menurut beliau, MClean akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pengurusan modal yang berdisiplin dalam melaksanakan strategi pertumbuhan serantau di Malaysia, Singapura dan Thailand bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam rantaian bekalan pemacu cakera keras serta elektronik pengguna.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L