Budak 12 Tahun Maut Dihempap Blok Konkrit Ketika Bermain Pasir

PASIR PUTEH – Kegembiraan dua kanak-kanak bermain pasir bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dihempap blok konkrit dalam kejadian di Kampung Telaga Papan, Semerak, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohammad Yusof Nor Ismail, 12, dipercayai sedang bermain dan mengorek pasir di kawasan berhampiran blok konkrit bersama bapa saudaranya, Mohd Yunus Nasir yang juga seusia dengannya.

Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak itu dikatakan terjatuh ke dalam lubang pasir sebelum struktur konkrit berkenaan runtuh dan menghempap mereka akibat hakisan pada kawasan pasir tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, kejadian itu disedari ahli keluarga selepas dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa kedua-dua kanak-kanak terbabit.

Menurut beliau, keluarga mangsa segera bergegas ke lokasi sebelum mendapati kedua-duanya berada di bawah timbunan konkrit.

“Ahli keluarga dimaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu terjatuh ke dalam lubang telaga pasir sebelum mendapati mereka dihempap simen konkrit akibat hakisan pasir.

“Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan keluarga kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Cherang Ruku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, penolong pegawai kesihatan dari klinik berkenaan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan Mohammad Yusof telah meninggal dunia.

Menurut Saari, seorang lagi kanak-kanak yang turut terbabit dalam kejadian itu mengalami kecederaan pada bahagian leher.

Mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Aktivis Jejak Jalanan, Tengku Mohd Harith Hakimin Tengku Abdul Azis berkata, keluarga mangsa merupakan penerima bantuan bulanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Katanya, pihak NGO itu akan membantu menguruskan proses pengebumian mangsa selain memberi sokongan kepada keluarga yang sedang berdepan detik sukar.

“Mayat mangsa kini berada di Hospital Tengku Anis untuk urusan bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Kejadian menyayat hati itu turut mengundang rasa pilu penduduk kampung yang menyifatkan mangsa sebagai seorang kanak-kanak aktif dan sering bermain bersama rakan-rakan di kawasan sekitar rumahnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *