Rebah Ketika Mendaki, Lelaki Meninggal Dunia Di Puncak Bukit Gunong

BACHOK – Aktiviti pendakian bertukar tragedi apabila seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas rebah sebaik tiba di puncak Bukit Gunong, Kampung Gunong, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Mohd Yusof Hamat, 41, dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di kawasan puncak bukit setinggi 317 meter dari paras laut berkenaan.

Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan pendaki lain sebelum pihak bomba dan penyelamat dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi membawa turun mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, operasi menyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba I Ibrahim Mohd Ghani bersama enam anggota.

Menurut beliau, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawa turun mangsa dari kawasan puncak yang agak mencabar.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas puncak bukit sebelum dibawa turun oleh anggota penyelamat.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat berdepan sedikit kesukaran berikutan keadaan laluan pendakian yang curam serta sempit selain dipenuhi batu-batu besar.

“Keadaan trek yang mencabar menyebabkan anggota perlu berhati-hati ketika membawa turun mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, punca kematian mangsa dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kejadian tersebut turut mengundang perhatian orang ramai yang berada di lokasi pendakian popular itu, manakala beberapa pendaki dilihat membantu pihak penyelamat sepanjang operasi dijalankan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *