Kepimpinan Loke bawa pendekatan DAP lebih sederhana, inklusif, pragmatik

DAP Kekal Pertahan 11 Kerusi di Negeri Sembilan

Oleh NurFarhana Zulkeply

SEREMBAN – DAP mengesahkan akan mempertahankan semua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di semua 36 kerusi DUN di negeri berkenaan.

Beliau berkata, pendirian tersebut diambil susulan tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor yang sebelum ini bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor.

“DAP akan mempertahankan semua 11 kerusi kami. Pendirian kita jelas, UMNO mahu lawan semua kerusi di Johor, PH mahu lawan semua kerusi di Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Anthony, ruang kerjasama antara PH dan BN dalam PRN Negeri Sembilan tidak lagi relevan memandangkan UMNO telah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sehingga menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, kehilangan majoriti di DUN.

“Keseluruhan idea pembubaran DUN ini kerana UMNO sudah menarik sokongan mereka. Bagaimana kita boleh bercakap tentang kerjasama untuk mengelakkan kekalahan,” katanya.

Beliau menegaskan penyelesaian terbaik ketika ini ialah mengembalikan mandat kepada rakyat menerusi pilihan raya negeri.

Sebelum ini, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Aminuddin, sekali gus mencetuskan keperluan untuk mengadakan PRN.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN bersedia menghadapi PRN Negeri Sembilan dan terbuka untuk meneruskan kerjasama bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan, namun menyifatkan masih terlalu awal untuk mengadakan rundingan rasmi.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.        

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *