Oleh: Fatin Sajidah
SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menolak dakwaan menjadi punca utama krisis politik membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, sebaliknya menegaskan kemelut berkenaan berpunca daripada kegagalan kepimpinan kerajaan negeri menangani isu tercetus sehingga menjejaskan institusi negeri.
Menurut kenyataan Facebook UMNO Negeri Sembilan, pelbagai peringatan dan pandangan telah dikemukakan kepada Menteri Besar sebelum 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan pada 27 April lalu, namun nasihat tersebut didakwa tidak diambil perhatian sehingga krisis menjadi semakin serius.
Katanya, isu yang timbul bukan sekadar melibatkan pentadbiran kerajaan negeri, malah telah menyebabkan kedudukan institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Co-Ruler menjadi bahan perdebatan terbuka.
UMNO turut menegaskan bahawa sepanjang lebih enam dekad mentadbir negeri itu, pelbagai cabaran berkaitan adat pernah berlaku, namun tidak pernah mencapai tahap yang dianggap memalukan institusi diraja dan adat perpatih seperti yang berlaku ketika ini.
Mengulas keputusan parti itu untuk bersedia bertanding di kesemua 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri akan datang, UMNO berkata langkah tersebut bukan bertujuan menunjukkan keangkuhan politik, sebaliknya dibuat selepas Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan terlebih dahulu mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi yang dipertandingkan.
Menurut kenyataan itu lagi, beberapa perkara yang menjadi asas kepada krisis semasa bukan berpunca daripada UMNO, termasuk dakwaan bahawa Menteri Besar telah disabdakan sebagai berbohong oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta tidak lagi layak meneruskan jawatan tersebut.
Selain itu, tuntutan mendapatkan minit Dewan Keadilan dan Undang melalui saluran mahkamah juga didakwa bukan digerakkan oleh UMNO, sebaliknya oleh ahli dewan berkenaan sendiri, manakala dakwaan Menteri Besar memperlekehkan kedudukan Co-Ruler turut dikatakan dibangkitkan oleh pihak lain terlebih dahulu.
UMNO turut mempersoalkan perubahan pendirian Menteri Besar berhubung tempoh pembubaran DUN selepas sebelum ini memaklumkan pembubaran hanya dijangka berlaku seawal Oktober 2026, namun akhirnya mengumumkan pembubaran pada 4 Jun yang berkuat kuasa sehari kemudian.
Pada masa sama, parti itu mendakwa tidak pernah diadakan sebarang pertemuan rasmi atau rundingan serius antara Menteri Besar dan 14 ADUN UMNO selepas penarikan sokongan dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku.
Sehubungan itu, UMNO Negeri Sembilan menegaskan parti berkenaan tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas krisis politik negeri dan menolak usaha pihak tertentu menjadikan UMNO sebagai “kambing hitam” demi mempertahankan maruah institusi negeri serta memastikan kestabilan pentadbiran terus terpelihara.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L