Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Menteri Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan DAP tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dalam pentadbiran Johor sekiranya BN terus diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Menurut beliau, pendirian berkenaan bukan didorong sentimen perkauman atau sikap angkuh, sebaliknya berasaskan prinsip, mandat rakyat dan tanggungjawab untuk mempertahankan kestabilan negeri.
Onn Hafiz berkata, beliau bertanggungjawab sebagai Pengerusi BN Johor menghormati hasrat akar umbi UMNO dan BN di seluruh negeri yang mahu gabungan itu bergerak secara bersendirian dalam menghadapi PRN Johor 2026.
Beliau menjelaskan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlaku atas keperluan membentuk kerajaan apabila tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah.
“Keadaan itu tidak sama di Johor. BN telah diberikan mandat yang jelas oleh rakyat untuk mentadbir negeri dan membentuk kerajaan yang stabil.
“Kita telah membuktikan prestasi dan mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan agenda pembangunan tanpa diganggu percaturan politik yang boleh menjejaskan kestabilan negeri,” katanya di laman Facebook miliknya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor sebagai persediaan menghadapi PRN Johor 2026 yang dihadiri pimpinan parti serta jentera dari seluruh negeri.
Dalam ucapannya, Onn Hafiz turut menyeru seluruh jentera BN supaya memperhebat gerak kerja di semua peringkat bagi memastikan kejayaan dan pencapaian kerajaan negeri dapat disampaikan kepada seluruh Bangsa Johor.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar mengekalkan adab serta kematangan politik sepanjang tempoh berkempen, selain menghormati perbezaan pandangan dalam masyarakat.
“Johor ada cara Johor. Perbezaan pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita perlu berpolitik secara matang dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti yang hadir bagi menyuntik semangat dan memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera BN Johor menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Beliau menegaskan bahawa fokus utama BN Johor adalah meneruskan kestabilan politik, memperkukuhkan pembangunan negeri dan memastikan kepentingan Bangsa Johor terus terpelihara.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L