Serangga daun spesies paling unik di dunia

KOTA BHARU – Serangga daun yang terkenal dengan keupayaan menyamar menyerupai daun sebenar bukan sahaja antara serangga paling unik di dunia, malah berperanan sebagai petunjuk penting tahap kesihatan ekosistem hutan tropika.

Ketua Jabatan Sains Praklinikal Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Goh Soon Heng berkata perubahan ketara dalam populasi serangga itu boleh menjadi petanda berlakunya ketidakseimbangan dalam ekosistem hutan.

“Apabila populasi serangga daun terlalu banyak atau terlalu sedikit, keadaan itu boleh menjadi indikator bahawa ekosistem hutan berkenaan tidak berada pada tahap yang sihat,” katanya.

Beliau berkata serangga daun memainkan beberapa fungsi penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem termasuk membantu mengawal ketebalan dedaunan di lapisan kanopi hutan.

Menurutnya aktiviti pemakanan serangga itu pada daun di lapisan atas hutan membolehkan lebih banyak cahaya matahari menembusi lantai hutan, sekali gus merangsang pertumbuhan tumbuhan renek serta spesies lain di bahagian bawah.

“Jika lapisan daun terlalu tebal, cahaya matahari sukar menembusi lantai hutan. Kehadiran serangga daun membantu mengawal keadaan itu secara semula jadi,” katanya.

Selain itu, najis yang dihasilkan serangga berkenaan turut menyumbang kepada proses penguraian bahan organik dan menjadi sumber nutrien kepada tumbuhan di lantai hutan.

Dr Goh berkata serangga daun juga merupakan komponen penting dalam rantaian makanan hutan kerana menjadi sumber makanan kepada pelbagai spesies haiwan, khususnya burung.

“Peranan serangga daun bukan hanya sebagai pengguna tumbuhan, tetapi juga sebagai sumber makanan kepada haiwan lain. Kehilangannya boleh memberi kesan kepada keseluruhan jaringan makanan dalam ekosistem hutan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai spesies itu, beliau berkata serangga daun mempunyai keupayaan penyamaran yang luar biasa sehingga sukar dibezakan daripada daun sebenar.

Katanya keunikan itu terbentuk hasil proses pemilihan semula jadi yang berlaku selama berjuta-juta tahun, sekali gus membolehkan spesies berkenaan menyesuaikan diri dengan habitat serta mengelakkan ancaman pemangsa.

Di Malaysia, antara spesies yang direkodkan ialah Pulchriphyllium giganteum yang dianggap antara serangga daun terbesar di dunia, selain Pulchriphyllium bioculatum yang mempunyai corak unik pada badannya.

Beliau berkata kebanyakan spesies serangga daun hidup antara enam hingga 10 bulan, manakala spesies yang lebih besar mampu hidup melebihi setahun.

“Seekor serangga daun betina yang matang boleh menghasilkan antara 200 hingga 300 biji telur sepanjang kitaran pembiakannya,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Goh berkata serangga berkenaan agak sukar ditemui di habitat semula jadi kerana kebanyakannya hidup di lapisan kanopi yang tinggi dan aktif pada waktu malam.

Menurutnya terdapat petunjuk bahawa populasi serangga daun mungkin semakin berkurangan berbanding dahulu, namun data saintifik yang lebih lengkap masih diperlukan bagi mengesahkan trend berkenaan.

“Kita masih kekurangan data yang mencukupi untuk menentukan sama ada populasinya benar-benar menurun,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *