KANGAR – Kerajaan Perlis memutuskan untuk tidak melaksanakan sistem parkir berpalang di negeri itu selepas mengambil kira pelbagai pandangan, termasuk daripada Majlis Perbandaran Kangar (MPK), demi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besarnya, Abu Bakar Hamzah berkata, sistem parkir berbayar akan terus dilaksanakan, namun tanpa penggunaan palang, dengan pengurusan melibatkan MPK serta syarikat pengendali parkir berkaitan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri merujuk kepada pelbagai pihak dan meneliti beberapa faktor, khususnya berkaitan kebajikan rakyat.
“Mengambil kira kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri, kerajaan negeri telah mempertimbangkan pelbagai pandangan sebelum membuat keputusan berhubung sistem parkir ini.
“Kami memahami ketidakpuasan hati sebahagian rakyat terhadap pelaksanaan sistem parkir berpalang sebelum ini. Justeru, pendekatan baharu ini dilihat sebagai jalan tengah yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra, di sini, malam tadi.
Sebelum ini, pada 9 Julai tahun lalu, bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan penangguhan pelaksanaan sistem parkir berpalang yang mula beroperasi pada pertengahan Jun 2025 bagi tempoh enam bulan, susulan rungutan orang ramai berkaitan keselesaan dan kemudahan penggunaannya.
Mohd Shukri dilaporkan berkata, kerajaan negeri mendapati pelaksanaan sistem tersebut belum mencapai tahap keselesaan yang diharapkan pengguna, selain meminta MPK berunding dengan syarikat pengendali bagi tujuan penambahbaikan.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, pelaksanaan sistem parkir selepas ini akan mengambil kira lokasi keutamaan serta keperluan setempat, dan tidak akan dilaksanakan di kawasan perumahan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan kemudahan sedia ada seperti kamera litar tertutup (CCTV) masih boleh digunakan bagi tujuan pemantauan dan keselamatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L