KPDN Ambil Tindakan Restoran Tanpa Sijil Halal Pamer Ayat al-Quran

IPOH – Seorang pemilik premis makanan di Teluk Intan, dekat sini berdepan tindakan undang-undang selepas didapati mempamerkan ayat suci al-Quran serta simbol berkaitan Islam dalam restorannya, sekali gus mengelirukan pelanggan mengenai status halal makanan yang dijual.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas premis itu oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Teluk Intan kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Menurutnya, tindakan mempamerkan ayat suci al-Quran dan kalimah Islam dalam premis boleh memberi gambaran makanan yang disediakan adalah halal dan sesuai untuk pengguna Islam.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perakuan atau pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Premis ini juga menggunakan sepenuhnya pekerja bukan Islam dalam penyediaan makanan, termasuk tukang masak,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Kamalludin berkata, pihak penguat kuasa turut menyita beberapa barangan bernilai kira-kira RM500, antaranya satu set kalimah Allah dan Muhammad diperbuat dari kayu dan plastik, hiasan dinding al-Quran, salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) serta daftar perniagaan bagi tujuan siasatan lanjut.

Susulan itu, pemilik premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Perenggan 4, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun, manakala perbadanan boleh didenda sehingga RM5 juta,” katanya.

Tambah beliau, pemilik premis juga disiasat di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu, dan denda sehingga RM200,000 bagi perbadanan.

Kamalludin menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang menggunakan logo halal atau takrif halal tidak sah kerana perbuatan itu boleh mengelirukan orang Islam mengenai status halal makanan, barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *