Penguat kuasa rasuah: Kerajaan perlu tegas, perkenalkan hukuman sebat mandatori

MCW Sokong Siasatan Telus SPRM Terhadap Panglima Tentera Darat

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan Panglima Tentera Darat (PTD) berhubung dakwaan berkaitan perolehan dan pengurusan tender.

Presidennya, Jais Abdul Karim menegaskan, prinsipnya tiada mana-mana individu kebal daripada kebertanggungjawaban, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.

Pada masa sama, katanya, pertubuhan itu mengingatkan setiap individu berhak kepada proses keadilan dan anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Menurut beliau, tindakan SPRM membuka kertas siasatan secara rasmi serta langkah pentadbiran merehatkan sementara PTD daripada tugas disifatkan sebagai langkah tadbir urus yang wajar bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan tanpa konflik kepentingan.

“MCW menekankan, langkah tersebut bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya amalan biasa bagi menjaga integriti institusi.

“Kita turut menekankan kepentingan menjaga maruah dan integriti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai institusi strategik negara yang menjadi benteng keselamatan dan kedaulatan.

“Sebarang dakwaan salah laku melibatkan kepimpinan tertinggi, menurut kami, perlu ditangani secara profesional, berfakta dan berlandaskan undang-undang supaya tidak menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap keseluruhan pasukan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sehubungan itu, Jais menolak sebarang pendekatan sensasi, fitnah atau “perbicaraan melalui media sosial” yang boleh merosakkan reputasi individu dan institusi sebelum siasatan diselesaikan.

Mengulas lebih lanjut, beliau berpandangan, isu berkenaan tidak wajar dilihat sebagai kes individu semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin kepada reformasi sistemik dalam tadbir urus perolehan pertahanan.

“Antara aspek yang ditekankan termasuk ketelusan proses perolehan, pengukuhan mekanisme semak dan imbang dalaman, pemantauan bebas terhadap projek bernilai tinggi serta pencegahan konflik kepentingan dalam keputusan strategik.

“Bidang pertahanan melibatkan peruntukan dana awam yang besar dan berisiko tinggi, justeru piawaian integriti mestilah lebih ketat,” menurutnya.

MCW turut menyeru semua pihak termasuk ahli politik, aktivis, media dan masyarakat awam agar menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, tidak mempolitikkan siasatan serta mengelakkan sebarang kesimpulan awal yang boleh menjejaskan keadilan.

Kata Jais, pertubuhan itu akan terus memantau perkembangan kes berkenaan secara objektif dan konstruktif.

“Sekiranya terbukti wujud kelemahan sistem atau salah guna kuasa, MCW tidak akan teragak-agak untuk menuntut pembetulan, pembaharuan dan pertanggungjawaban.

“Integriti bukan sekadar slogan ia diuji ketika kuasa berada di kemuncaknya,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *