30 Peratus Pesawah “Mahu Berehat” Angkara Beban Kos Penanaman Padi

ALOR SETAR – Pesawah dalam negara sekitar 30 peratus termasuk Sabah dan Sarawak tidak dapat memulakan musim baharu penanaman akibat terjejas dengan beban peningkatan kos yang membimbangkan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata terdapat anggaran 200,000 pesawah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, tekanan kos operasi seperti kenaikan harga diesel kesan krisis tenaga global menyebabkan sebahagian pesawah memilih untuk ‘berehat’ sementara menunggu keadaan pulih dan sesetengah beralih kepada tanaman lain seperti jagung, sayur-sayuran dan sawit.

“Dalam keseluruhan anggaran 30 peratus ini, ia merangkumi pesawah yang berhenti sementara, bertukar tanaman atau buat kolam ikan. Ada juga yang hanya tanam padi untuk kegunaan sendiri, contoh ada sehektar sawah, mungkin dia akan tanam suku hektar padi untuk makan sendiri.

“Jika diambil kira keluasan kira-kira 600,000 hektar kawasan sawah di seluruh negara, kesannya memang besar kepada pengeluaran padi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan kos operasi yang mendadak asbab ramai pesawah tidak mampu menanggung perbelanjaan, termasuk penggunaan jentera dan pembelian diesel pada harga pasaran.

“Kos membajak misalnya meningkat sehingga lebih 50 peratus, sekali gus menekan pendapatan pesawah yang sedia terkesan. Bila harga diesel naik turun setiap minggu, pesawah dan pengusaha jentera tidak boleh tetapkan kadar upah stabil, menyukarkan keseluruhan rantaian pengeluaran padi.

“Keadaan pesawah, pemilik jentera masing-masing tersepit,” katanya memaklumkan bahawa tambahan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar masih belum mencukupi untuk menampung kos sebenar di lapangan

Beliau turut berkata bantuan itu tidak menyelesaikan masalah sepenuhnya dari segi kos akhir ditanggung pesawah kerana pengusaha jentera masih perlu membeli diesel tanpa subsidi.

“Jadi kami harap kerajaan masukkan jentera pertanian padi ke dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) agar pesawah boleh menikmati harga diesel yang lebih stabil. Selain itu, pertimbang kenaikan harga lantai padi kepada RM3,000 setiap tan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menjamin kelangsungan pesawah.

“Kalau harga lantai padi tidak disemak semula, pesawah akan terus berdepan kerugian. Kita perlukan langkah lebih menyeluruh, bukan sekadar insentif jangka pendek,” katanya.

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *