SHAH ALAM – Kerajaan Selangor komited memastikan bekalan air negeri sentiasa mencukupi dan mampan dengan langkah strategik meneliti cadangan pembinaan loji penyahgaraman, sebagai salah satu alternatif kepada sumber air sedia ada.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim, berkata teknologi penyahgaraman kini semakin menarik minat kerajaan negeri berikutan penurunan kos yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebelum ini, kos pelaksanaan teknologi ini dianggap tinggi dan tidak ekonomik. Namun kini, seperti teknologi solar, kosnya semakin menurun dan mula menunjukkan daya saing,” katanya dalam sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rabu lalu.
Beliau menjelaskan, Selangor masih bergantung kepada sumber air permukaan dengan penggunaan air bawah tanah yang terhad. Usaha menambah sumber alternatif seperti loji penyahgaraman dilihat penting untuk memastikan bekalan air bersih yang berterusan dan lestari pada masa hadapan.
Kerajaan negeri juga telah menerima beberapa cadangan projek loji penyahgaraman dengan kapasiti sehingga 300 juta liter sehari yang melibatkan dua lokasi berbeza.
Namun, kata Izham, keputusan muktamad akan dibuat setelah penilaian menyeluruh merangkumi aspek teknikal, strategik serta kajian kos dan ekonomi.
Selain itu, kerajaan negeri menekankan bahawa pelaksanaan projek itu akan mengambil kira kesan terhadap tarif air agar harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan tidak membebankan.
Dalam menjawab pertanyaan lain, Izham mendedahkan keadaan bekalan air Selangor kini berada pada tahap selesa dengan margin rizab sebanyak 17.4 peratus iaitu melebihi paras minimum 15 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Ini menunjukkan negeri mempunyai keupayaan bekalan air yang mencukupi bagi menampung permintaan semasa.
Menunjukkan komitmen jangka panjang, beliau turut berkongsi beberapa projek loji rawatan air (LRA) yang sedang rancak dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti, antaranya LRA Sungai Rasau (Peringkat 1 dan 2), LRA Labohan Dagang Fasa 2 dan LRA Langat 2 Fasa 2 yang dijangka siap antara tahun 2027 hingga 2031.
Kerajaan Selangor juga menjangkakan keperluan margin rizab air meningkat kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang selaras dengan pertambahan populasi dan permintaan penggunaan air.
Langkah-langkah ini memperlihatkan kesungguhan Selangor bukan sahaja bertindak balas terhadap keperluan semasa, malah merangka pelan jangka panjang bagi memastikan bekalan air yang lebih mampan, cekap dan bertanggungjawab di negeri itu.
Berita ini diolah semula oleh NurFarhana Zulkeply. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L