Gelombang Peletakan Jawatan Pimpinan PN Negeri Susulan Pengunduran Muhyiddin dan Azmin

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pusat telah mencetuskan gelombang pengunduran pimpinan PN di peringkat negeri apabila beberapa tokoh utama parti mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Susulan pengumuman Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor, sekali gus mempercepatkan proses peralihan kepimpinan dalam gabungan itu.

Di Perak, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak. Bekas Menteri Besar Perak itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat sebagai menghormati prerogatif Pengerusi PN Pusat yang mempunyai kuasa melantik pengerusi di peringkat negeri.

“Menghormati bahawa kuasa pelantikan adalah prerogatif Pengerusi, dengan ini saya memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Perak, berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Faizal turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan, jentera serta ahli parti-parti komponen PN Perak atas sokongan, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan sepanjang beliau menggalas amanah tersebut.

Di Negeri Sembilan pula, Pengerusi PN negeri berkenaan, Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengambil langkah sama dengan mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa tarikh yang sama. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu itu berkata, keputusan yang dibuat adalah selaras dengan prinsip menghormati struktur organisasi, hierarki dan tatakelola Perikatan Nasional.

Menurut beliau, pelantikan jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi PN Malaysia, justeru peletakan jawatan itu merupakan tindakan berprinsip susulan perubahan kepimpinan di peringkat pusat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pimpinan, rakan-rakan parti, jentera serta penyokong PN Negeri Sembilan atas sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan sepanjang saya memegang amanah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu di Johor, bekas Menteri Besar negeri berkenaan, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Johor. ADUN Bukit Kepong itu memaklumkan perkara berkenaan menerusi hantaran di Facebook sebelum mengesahkan keputusan tersebut ketika dihubungi media.

Dr Sahruddin menegaskan peletakan jawatan itu dibuat semata-mata susulan pengunduran Muhyiddin Yassin dan menafikan dakwaan wujud pergolakan dalaman dalam PN Johor.

“PN Johor berada dalam keadaan baik dan stabil. Mesyuarat baru diadakan dua minggu lalu dan berjalan dengan lancar. Keputusan ini tidak ada kaitan dengan Johor,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelantikannya sebagai Pengerusi PN Johor dibuat oleh Muhyiddin, justeru tindakan melepaskan jawatan itu adalah langkah yang konsisten dengan prinsip menghormati kepimpinan pusat.

“Saya dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin. Apabila beliau letak jawatan, saya pun letak jawatan. Saya menyerahkan kepada kepimpinan pusat atau Muafakat Nasional untuk melantik Pengerusi PN Johor yang baharu,” katanya.

Untuk rekod, Dr Sahruddin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor pada Jun 2022 dan sepanjang tempoh tersebut, beliau memimpin jentera gabungan itu menghadapi beberapa siri pilihan raya.

Sebelum ini, peletakan jawatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor turut dilihat sebagai perkembangan penting yang memberi kesan langsung kepada struktur kepimpinan gabungan berkenaan.

Rentetan peletakan jawatan secara berperingkat di peringkat pusat dan negeri ini menandakan bermulanya fasa peralihan kepimpinan dalam Perikatan Nasional, dengan tumpuan kini terarah kepada langkah seterusnya gabungan itu dalam menyusun semula barisan kepimpinan baharu bagi memastikan kestabilan serta kesinambungan hala tuju politik PN di peringkat nasional dan negeri.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *