Pemilihan PKR di Sabah tangguh jika bertembung PRN, kata Fuziah

Kongres Nasional PKR: Hampir 10,000 dijangka hadir, mengundi fizikal

JOHOR BAHRU – Hampir 10,000 perwakilan dijangka hadir pada Kongres Nasional PKR 2025 yang diadakan di bandar raya ini, selama tiga hari bermula 22 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, kehadiran perwakilan fizikal yang tinggi itu susulan pindaan Perlembagaan parti pada 15 Disember tahun lalu.

“Oleh itu, perwakilan fizikal yang akan hadir ke Kongres Nasional 2025 PKR di Johor Bahru tahun ini adalah tinggi kerana ia babitkan seluruh Ahli Jawatankuasa Cabang yang menang iaitu 18 orang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga 18 orang manakala Wanita pula 10 orang.

“Mereka yang hadir juga akan mengundi secara fizikal untuk Pemilihan Pusat yang diadakan termasuk 20,000 perwakilan lagi akan mengundi secara dalam talian.

“Hari mengundi ialah 23 Mei iaitu hari Jumaat membabitkan Hotel Berjaya Waterfront untuk AMK manakala Wanita PKR akan mengundi fizikal di Pusat Konvensyen Danga Bay.

“Perasmian bersama Kongres AMK dan Wanita PKR akan diadakan pada 22 Mei, manakala perasmian Kongres Nasional PKR 2025 pula keesokannya, kedua-duanya pada sebelah malam,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penetapan Lokasi Pengagihan Bekalan Minyak Masak Paket, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kongres Nasional PKR dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Disember 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru.

Bagaimanapun, pada 30 November tahun lalu, PKR dilaporkan memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional PKR susulan bencana banjir di beberapa negeri termasuk Johor, ketika itu.

Mengulas sama ada kontroversi pemilihan cabang akan mengganggu perjalanan Kongres Nasional, Fuziah berkata, PKR telah melantik pihak ketiga bagi mengaudit pemilihan cabang membabitkan audit antarabangsa.

“Pihak audit antarabangsa yang dilantik mengaudit proses pemilihan termasuk sistem dan audit dalaman PKR, dan dapatan mereka mengesahkan tiada sebarang manipulasi atau gangguan yang berlaku apatah lagi kompromi, malah pemilihan PKR disahkan mengikut piawaian antarabangsa.

“Apatah lagi pemilihan kali ini menggunakan teknologi block chain. Jadi saya harap ia tidak lagi menjadi isu selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Jelajah Pra Kongres PKR yang sedang diadakan, perwakilan negeri juga dilihat bersemangat untuk menghadiri kongres kali ini.

“Proses konsolasi kita gerakan pada Jelajah Pra Kongres yang sedang berlangsung kini dengan mesej utama saya bawa adalah perpecahan itu kita pastikan tidak berlaku,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *