Edika nafi ada hubungan istimewa dengan wanita lain

KUALA LUMPUR – Pelakon Edika Yusof, 58, menjelaskan tiada hubungan istimewa dengan mana-mana wanita sebagaimana foto yang tular dalam media sosial sebelum perceraian dengan bekas isteri, Nor Hidayah Yusri pada 5 Mei lalu.

Edika berkata, dia tidak mengenali wanita yang didakwa bergambar mesra dengannya dan foto berkenaan juga diambil sendiri oleh suami individu itu ketika mereka bertemu dalam satu majlis rumah terbuka.

“Saya memang tiada apa-apa hubungan dengan dia dan saya juga tidak mengenalinya. Kami bertemu ketika majlis rumah terbuka hari raya yang dianjurkan oleh seorang pereka fesyen.

“Dia (wanita itu) yang nak ambil gambar bersama saya dan foto kami juga dirakamkan oleh suaminya. Anak mereka pun ada bersama dan dia yang lebih dahulu bertanya, saya okay atau tidak jika ingin bergambar?

“Saya kata, okay. Saya layankan sebab kita pun bekerja dalam industri ini (hiburan). Jadi, pada saya ia sekadar ‘have fun’ dan tidak lebih daripada itu kerana dia pun sudah bersuami,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya dirinya yang didakwa sering terdedah dengan foto bersama wanita seksi di aplikasi Treads, Edika berkata, mereka itu bukanlah wanita seksi.

“Kita ada buat produk ‘skin care’ dan ingin bekerjasama dengan model antarabangsa. Saya sendiri pun adalah seorang model antarabangsa. Jadi, saya tahu komunikasi nak masukkan produk di persada antarabangsa.

“Oleh itu, kadang-kadang saya cuba jugalah (untuk mesra). Itu sahaja, tidak lebih daripada itu. Malah, kalau ada jawapan ‘hi’, kita tengoklah macam mana boleh bekerjasama untuk produk ‘skin care’.

“Apapun, selama saya berkahwin, tak pernah ada niat pun untuk curang. Saya juga memang tak pernah ada rekod curang dan saya tidak pernah melepaskan tanggungjawab (pada keluarga).

“Saya macam itulah sebab sampai ke hari ini, telefon saya anak pun boleh akses. Tiada ‘password’ atau nombor kad pengenalan, termasuk nak buka akaun media sosial saya pun boleh. Jadi, tak ada apa-apa isu,” katanya.

Difahamkan, wanita dikaitkan dengan Edika itu tidak mengiyakan atau menafikan sejauh mana hubungan mereka apabila ada segelintir netizen yang bertanya mengenainya menerusi komen ditinggalkan.

Terdahulu, Edika sah bercerai talak satu dengan Nor Hidayah, 47, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang meleraikan ikatan rumah tangga selama 22 tahun dibina.

Pasangan itu berkahwin pada 2003 dan selama lebih dua dekad hidup bersama, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *