Shuhaimi dakwa dihalang siapkan proses suntingan filem, sebelum nama digugurkan

KUALA LUMPUR – Pengarah filem, Shuhaimi Zulkefli, 37, kecewa tindakan sebuah syarikat produksi yang menggugurkan namanya dalam bahan promosi.

Enggan mendedahkan isu dalaman yang berlaku, Shuhaimi mendakwa, dia turut dihalang untuk terbabit dalam proses suntingan filem sebaik selesai penggambaran.

“Saya kecewa apabila nama digugurkan. Sebelum itu, mereka menghalang saya terbabit dalam proses penyuntingan filem.

“Apabila saya mahu buat suntingan, mereka tak bagi. Apa yang berlaku bukan sebab saya tidak mahu bertanggungjawab dengan kerja yang diamanahkan,” dakwanya kepada BH Online.

Semalam, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki dalam satu kenyataan menuntut penjelasan terbuka dan profesional daripada penerbit filem susulan pengguguran nama Shuhaimi selaku pengarah daripada bahan promosi termasuk poster utama tayangan.

Afdlin dilapor berkata, FDAM memandang serius perkara itu, sekali gus akan mempertahankan hak Shuhaimi sebagai pengarah sah, selaras dengan prinsip dan etika kerja yang termaktub dalam industri perfileman.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata, dia reda apabila namanya tidak diletakkan dalam bahan promosi seperti poster utama filem.

“Saya fikir tak perlu letak nama saya sebagai pengarah kerana tidak terbabit dalam suntingan. Tapi, FDAM cuba perjuangkan nasib saya supaya penerbit menghargai hasil kerja sudah diberikan,” katanya.

Ditanya saman fitnah difailkan penerbit filem berkenaan terhadapnya, Shuhaimi enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Saya mohon maaf kerana tidak boleh memberi sebarang komen mengenai perkara ini. Saya sudah melantik peguam dan kebenaran akan terungkap,” dakwanya.

Sementara itu, syarikat produksi mendakwa Shuhaimi melanggar kontrak sebagai pengarah filem dengan membuat tindakan yang menjejaskan hak etika dan moral produksi.

Kenyataan itu menyebut, ia sekali gus menggugurkan nama Shuhaimi daripada jawatan pengarah untuk filem berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *