KOTA BHARU – UMNO Bahagian Ketereh, dekat sini mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohaimi Wan Daud meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat sekiranya tidak berpuas hati dengan laporan polis yang berasaskan data dan fakta.
Ketua Penerangannya, Lt. Kol. Bersekutu (PA), Nik Saiful Adli Burhan berkata, ADUN berkenaan boleh menyertai polis supaya tahu berapa kes jenayah berlaku di negeri itu dan pihak mana yang terlibat.
Kata beliau, tindakan mempertikaikan teguran Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat tidak sepatutnya berlaku, lebih lagi daripada kalangan pimpinan kerajaan.
“Saya terpanggil untuk mengulas ucapan ADUN Melor dalam persidangan Dewan Undangan Negeri semalam, yang mempertikaikan teguran Ketua Polis Kelantan berhubung peningkatan masalah sosial, termasuk kes-kes jenayah serius seperti rogol dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Pertama sekali, Dewan Undangan Negeri bukan medan untuk bermain politik murahan dan mencari populariti dengan menyerang institusi yang menjalankan tugas mereka secara profesional.
“Ketua Polis Negeri bercakap berdasarkan fakta dan statistik yang memang menjadi tugas hakiki beliau, bukan berdasarkan emosi atau kepentingan politik. Jadi, tegurannya adalah berasaskan tanggungjawab terhadap keselamatan rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ujar Nik Saiful Adli, teguran itu bukan soal maruah negeri atau pertandingan negeri paling baik, tetapi peringatan oleh Ketua Polis Negeri kepada masyarakat untuk membanteras gejala sosial yang meningkat di Kelantan.
Beliau mempersoalkan, adakah ADUN berkenaan takut peningkatan kes jenayah dan dadah akan mencemarkan imej pentadbiran negeri yang kononnya menjunjung dan berteraskan Islam selama ini?
“Penyakit perlu diubati, bukan disembunyikan. Polis macam doktor juga. Mereka tidak akan menyembunyikan fakta atau bercerita kisah yang indah semata-mata hendak menutup masalah.
“Saya percaya ADUN Melor seorang berpendidikan undang-undang dan tahu berkenaan pengasingan kuasa eksekutif dan legislatif dalam doktrin ‘Separation of Power’ yang diamalkan dalam pentadbiran negara ini.
“ADUN sebagai kuasa legislatif tidak perlu takut dengan kerja jujur oleh golongan eksekutif dan pelaksana dalam kerajaan yang langsung tiada kepentingan politik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ADUN Melor itu, biarlah polis melakukan kerjanya.
“Kalau YB rasa mahu buat kerja polis, letak jawatan sebagai ADUN dan masuk Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
“Ini isu keselamatan rakyat. Serahkan kepada mereka yang ada pengetahuan, latihan dan kepakaran dalam bidang ini. Jangan kelirukan orang ramai hanya kerana ingin kelihatan ‘hero’ dalam Dewan,” katanya.
Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan berkata, daripada sibuk mempertikaikan statistik kes rogol dan jenayah yang dibentangkan oleh polis, beliau mencadangkan ADUN berkenaan balik ke kawasan dan jalankan tanggungjawab sendiri.
“Periksa dan baiki lampu-lampu jalan di kampung, khususnya sepanjang laluan Melor ke Peringat, yang diketahui ramai amat gelap dan berisiko. Kita tidak mahu kejadian rogol berlaku dalam gelap di kawasan YB, hanya kerana pemimpin kawasan leka berpolitik atau tinggal jauh di Kuala Lumpur.
“Sebagai pemimpin, tugas kita bukan menafikan masalah, tetapi menyelesaikannya bersama. Jangan jadikan keselamatan rakyat sebagai bahan mainan politik. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001