Sastera Melayu: Antara Pentas Besar dan Akar Umbi yang Terpinggir

Kita masih mempunyai pentas sastera. Kita masih mempunyai sayembara, seminar, bengkel penulisan, pelancaran buku, pertandingan puisi dan pelbagai program berkaitan bahasa serta kesusasteraan.

Tetapi, satu soalan lebih besar perlu ditanyakan: apakah semua itu benar-benar menunjukkan sastera Melayu sedang berkembang, atau sekadar menunjukkan kegiatan sastera masih berjalan?

Sebuah dunia sastera yang hidup bukan hanya diukur daripada banyaknya acara dianjurkan, berapa banyak nama berada di pentas atau berapa banyak karya diterbitkan.

Ukurannya juga terletak pada sejauh mana sastera mampu menemukan pembaca baharu, melahirkan penulis baharu, menyentuh masyarakat dan bertahan menghadapi perubahan zaman.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Sastera Melayu hari ini bukan sahaja berdepan persoalan dana dan ruang kegiatan. Ia berhadapan perubahan budaya membaca, persaingan dengan kandungan digital, perubahan cara generasi muda mendapatkan maklumat, cabaran penerbitan, pemasaran buku, kedudukan karya sastera dalam kehidupan masyarakat dan persoalan bagaimana sastera mahu terus relevan dalam dunia yang bergerak pantas.

Dalam keadaan sedemikian, kegiatan sastera di akar umbi sepatutnya menjadi antara benteng penting untuk memastikan sastera Melayu tidak terputus daripada masyarakat. Namun, kelompok inilah sering berdepan cabaran paling awal.

Di negeri-negeri, daerah dan kampung, terdapat persatuan penulis serta kelab kesusasteraan yang digerakkan oleh kelompok kecil manusia. Mereka tidak mempunyai dana besar. Tidak mempunyai pejabat yang lengkap. Tidak mempunyai pegawai khusus. Sebahagiannya bergerak berdasarkan semangat ahli dan kesanggupan beberapa individu mengeluarkan wang sendiri.

Namun, mereka terus menganjurkan kegiatan, mengumpulkan penulis, memperkenalkan puisi kepada anak muda, mengadakan diskusi buku, membuka ruang kepada penulis baharu. Mereka cuba memastikan bahasa dan sastera Melayu terus mempunyai tempat dalam komuniti masing-masing.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Persoalannya, sejauh manakah usaha ini mendapat perhatian daripada pihak yang mempunyai tanggungjawab lebih besar terhadap pembangunan kesusasteraan?

Persoalan ini tidak harus dilihat sebagai tuntutan supaya semua persatuan kecil diberikan layanan sama dalam setiap keadaan. Sebaliknya, ia adalah persoalan mengenai bagaimana sebuah ekosistem sastera yang sihat boleh dibina.

Jika kita mahu melahirkan penulis baharu, di manakah mereka bermula? Jika kita mahu mencari pembaca baharu, siapa yang mendekati mereka? Jika kita mahu memastikan sastera Melayu terus hidup di luar pusat bandar dan institusi utama, siapa yang menggerakkannya?

Jawapannya sering berada di akar umbi. Namun, akar umbi mempunyai satu masalah besar, iaitu kemampuan.

Persatuan yang sudah lama dikenali mungkin mempunyai jaringan, pengalaman dan rekod kegiatan membolehkan mereka bergerak dengan lebih tersusun. Persatuan kecil pula masih membina nama, mencari ahli, mencari tempat kegiatan dan pada masa sama cuba mendapatkan sumber kewangan.

Di sinilah wujud cabaran yang perlu diberi perhatian. Nama besar sahaja tidak semestinya bermaksud kegiatan itu lebih penting, sebagaimana persatuan kecil juga tidak semestinya lebih berkesan hanya kerana mereka bergerak dengan penuh kesukaran.

Ukuran yang lebih adil ialah kesannya. Apa yang dilakukan, siapa yang dilibatkan, bakat siapa yang ditemukan, pembaca siapa yang berjaya didekati dan apakah kesinambungan program selepas acara selesai.

Persoalan ini semakin penting kerana dunia sastera Melayu tidak boleh bergantung kepada kelompok penulis yang sama sepanjang masa. Sesebuah tradisi hanya akan bertahan apabila berlaku proses pewarisan.

Penulis lama perlu menemukan penulis baharu, manakala penulis baharu pula perlu menemukan pembaca dan pembaca perlu mempunyai akses kepada karya serta karya pula perlu mempunyai ruang untuk diterbitkan, diedarkan, dibincangkan serta dikritik.

Tanpa rantaian ini, sastera boleh terus mempunyai acara tetapi, ia kehilangan ekosistem. Lebih membimbangkan, generasi muda kini mempunyai begitu banyak pilihan kandungan. Telefon pintar memberikan mereka video pendek, media sosial, permainan digital, penstriman dan pelbagai bentuk hiburan yang bersaing untuk mendapatkan perhatian mereka.

Dalam keadaan ini, sastera tidak boleh hanya menunggu pembaca datang. Sastera perlu mencari pembaca.

Persoalannya bukan bermaksud sastera perlu mengorbankan nilai estetika atau mutu karya semata-mata untuk mengejar populariti. Sebaliknya, dunia sastera perlu mencari jalan baharu untuk mendekatkan karya dengan masyarakat tanpa menghilangkan roh dan nilai kesusasteraan itu sendiri.

Di sinilah persatuan kecil sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka dekat dengan masyarakat, mereka mengenali anak muda di daerah masing-masing, mereka tahu siapa yang menulis secara senyap-senyap, mereka tahu siapa yang mempunyai bakat membaca puisi, mereka tahu guru, pelajar, mahasiswa dan orang kampung yang masih berminat terhadap kegiatan bahasa dan sastera.

Tetapi, mereka memerlukan sokongan untuk mengembangkan jangkauan itu. Sokongan tidak semestinya berupa peruntukan besar. Ruang penggunaan dewan, bantuan penerbitan, promosi, latihan pengurusan persatuan, jaringan dengan institusi pendidikan, peluang menerbitkan karya dan bimbingan profesional juga mempunyai nilai yang besar.

Yang penting, jangan wujud tanggapan hanya pertubuhan yang sudah kukuh layak menjadi penggerak utama sastera. Setiap nama besar pernah bermula sebagai nama yang tidak dikenali. Setiap penulis besar pernah menghasilkan karya pertama dan setiap persatuan yang besar pernah bermula dengan sekumpulan kecil manusia yang percaya kepada sesuatu.

Sebab itu cabaran dunia sastera Melayu perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar soal siapa mendapat peruntukan, berapa banyak program dilaksanakan dan berapa ramai penulis hadir dalam sebuah seminar.

Soalnya ialah apakah kita sedang membina masa depan sastera Melayu atau sekadar mengurus kegiatan sastera dari tahun ke tahun?

Kita perlu berani bertanya apakah sistem pembangunan sastera hari ini cukup terbuka kepada bakat baharu? Apakah ruang tersedia benar-benar sampai kepada daerah dan komuniti kecil? Apakah kegiatan dianjurkan meninggalkan kesan jangka panjang? Dan apakah generasi muda masih melihat sastera sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan mereka?

Tidak ada satu pihak mampu menyelesaikan semua persoalan ini sendirian. Institusi kerajaan mempunyai peranan. Persatuan penulis mempunyai peranan. Penerbit mempunyai peranan. Sekolah dan universiti mempunyai peranan. Media mempunyai peranan dan penulis sendiri juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan karya mereka terus berkembang serta berhubung dengan masyarakat.

Namun, dalam usaha melihat gambaran besar itu, jangan kita terlupa kepada mereka yang bekerja dalam diam. Persatuan kecil yang menganjurkan malam puisi dengan sepuluh atau dua puluh orang. Kelab penulis yang mengumpulkan anak muda di sebuah daerah. Guru yang memperkenalkan puisi kepada murid selepas waktu persekolahan. Penulis yang sanggup memandu jauh untuk menghadiri diskusi tanpa bayaran.

Mereka mungkin tidak mempunyai nama besar, tetapi mereka sedang menjaga api kecil dan dalam dunia sastera, api kecil itulah yang tidak boleh dibiarkan padam.

Sastera Melayu tidak akan berkembang hanya kerana kita mempunyai pentas yang besar. Ia berkembang apabila semakin ramai manusia mahu membaca, menulis, berfikir, berbicara dan menemukan dirinya melalui bahasa.

Maka, mungkin sudah tiba masanya kita mengalihkan sedikit pandangan daripada pentas kepada akar, kerana masa depan sastera Melayu tidak hanya ditentukan oleh siapa yang berdiri di hadapan mikrofon.

Ia juga ditentukan oleh siapa yang masih sanggup menyusun kerusi di belakang dewan, membuka buku, menulis sajak, mengumpulkan anak muda dan berkata: Mari kita teruskan.

Selagi masih ada manusia yang berkata begitu, sastera Melayu belum kehilangan harapan, tetapi harapan juga memerlukan ruang untuk tumbuh dan ruang itu perlu dibuka lebih luas, terutama kepada mereka yang selama ini menanam, menyiram dan menjaga sastera dari akar umbi. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *