TEHRAN – Media Iran melaporkan sekurang-kurangnya lima letupan kedengaran di Pulau Qeshm, selatan negara itu, awal Selasa, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan serangan udara menyasarkan lokasi di pulau berkenaan.
Menurut laporan berita tempatan, kekuatan letupan itu memberi gambaran kemungkinan beberapa lokasi di pulau berkenaan menjadi sasaran serangan.
Beberapa penduduk turut mendakwa melihat dua pesawat terbang di ruang udara pulau itu, namun identiti pesawat berkenaan tidak dikenal pasti.
Setakat ini, punca letupan, lokasi yang dipercayai diserang serta kemungkinan kematian atau kerosakan masih belum dapat disahkan secara bebas.
Pulau Qeshm mempunyai kepentingan strategik kerana terletak di Selat Hormuz, berhampiran pintu masuk ke Teluk Parsi dan laluan utama perdagangan maritim antarabangsa.
Kedudukannya turut menjadikan pulau itu antara lokasi tumpuan aktiviti ketenteraan dan ketegangan antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS).
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan ketenteraan kembali meningkat meskipun usaha diplomatik bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama lapan bulan masih diteruskan.
Tehran dan Washington dilaporkan terus bertukar mesej menerusi orang tengah, dengan Qatar memainkan peranan penting dalam usaha mencapai persetujuan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Rangka cadangan perjanjian itu antara lain merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz serta penarikan sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran.
Pulau Qeshm sebelum ini turut dilaporkan menjadi lokasi aktiviti ketenteraan sepanjang konflik berkenaan.
Pada 30 Oktober lalu, media Iran melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memintas sebuah dron berhampiran pulau itu, selain melaporkan letupan dan kemungkinan aktiviti pertahanan udara di kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, pihak tentera AS menafikan dakwaan Iran bahawa pihaknya kehilangan kawalan terhadap sebuah dron dalam insiden berasingan pada minggu sama.
Dalam perkembangan berkaitan, kemungkinan tindakan ketenteraan baharu AS terhadap Iran turut menjadi perbincangan.
Laporan media AS menyebut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menggesa Presiden AS, Donald Trump, mempertimbangkan satu lagi gelombang serangan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.
Bagaimanapun, Trump setakat ini belum memberikan komitmen untuk melancarkan tindakan ketenteraan baharu.
Washington dan Israel juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan letupan terbaharu itu.
Identiti pesawat yang dilihat penduduk, punca letupan serta kemungkinan kemudahan ketenteraan menjadi sasaran masih belum diketahui. – Agensi
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
