Oleh: Editorial ND
BELUM lagi tiba hari pengundi beratur di pusat pengundian pangkah kertas undi, sudah ada ‘penganalisis cari makan’ yang lebih awal menjatuhkan hukuman politik.
Calon parti B yang sudah dua penggal berkhidmat tiba-tiba diramalkan bakal tersungkur, manakala calon parti D yang masih hijau dalam gelanggang politik, malah bukan anak tempatan, dikatakan bakal merampas kemenangan.
Hebat sungguh firasat ‘tok dukun cari makan ini’. Walhal penamaan calon baru sahaja selesai, kempen belum pun sampai ke kemuncak, tetapi keputusannya seolah sudah diketahui.
Lebih menarik, ramalan ‘tok dukun cari makan’ ini bukan sekadar disimpan dalam kepala, sebaliknya dihebahkan melalui media sosial dengan gaya penuh yakin, seakan dia memiliki akses khas kepada peti undi yang belum dibuka.
Inilah gelagat segelintir penganalisis politik bermusim yang muncul setiap kali pilihan raya menjelang. Kononnya turun padang membuat bancian, bertemu pengundi dan membaca denyut nadi rakyat.
Namun, sejauh mana kaedah bancian ‘tok dukun cari makan’ ini boleh dipercayai, berapa ramai responden ditemui dan siapa pula yang ditemu bual, semuanya tidak pula diperincikan.
Menariknya, ramalan ‘tok dukun cari makan’ ini bukan dibuat berdasarkan kajian terperinci, apatah lagi sampel responden yang jelas atau kaedah bancian yang boleh dipertanggungjawabkan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Hasil ramalannya hanya cukup sekadar beberapa pertemuan, sembang di kedai kopi dan mungkin cerita daripada penyokong parti sendiri, lalu terus diangkat sebagai gambaran sebenar sentimen pengundi.
Lebih menggelikan hati apabila calon parti B yang diramalkan bakal kalah oleh ‘tok dukun cari makan’ ini sudah dua penggal berkhidmat di kawasan berkenaan. Sudah tentu beliau mempunyai rekod perkhidmatan, jaringan masyarakat dan pengalaman berdepan kerenah penduduk setempat.
Sebaliknya, calon parti D yang dikatakan bakal menang oleh ‘tok dukun cari makan’ ini pula adalah muka baharu, malah bukan anak tempatan.
Memang tidak salah parti menawarkan calon luar kawasan, tetapi apakah populariti yang belum teruji itu sudah cukup untuk menenggelamkan calon yang sekian lama dikenali pengundi?
Politik memang penuh kejutan. Calon lama tidak semestinya menang, manakala calon baharu juga tidak semestinya kalah. Namun, antara membuat analisis dengan menjual ramalan, ada perbezaan yang perlu difahami.
Barangkali ‘tok dukun cari makan’ ini terlalu ghairah mahu dilihat sebagai orang pertama mengetahui arah angin politik. Mungkin juga ‘tok dukun cari makan’ ini mahu menumpang populariti musim pilihan raya dengan membina reputasi sebagai tok dukun serba tahu. Tidak mengapalah, masing-masing ada cara mencari makan.
Cuma, jangan sampai ramalan sendiri dianggap sebagai keputusan rasmi. Pengundi belum mengundi, peti undi belum dibuka, kertas undi belum dikira, tetapi ‘tok dukun cari makan’ ini sudah tahu siapa bakal menang dan siapa perlu mengemas beg.
Di Johor, Negeri Sembilan, Melaka mahupun Sarawak, satu perkara perlu diingat, pilihan raya bukan pertandingan siapa paling hebat membuat ramalan di Facebook.
Akhirnya, bukan ‘tok dukun cari makan’ di media sosial yang menentukan kemenangan. Bukan juga penyokong yang paling kuat bertepuk tangan. Yang menentukan ialah pengundi melalui kertas undi.
Jadi, kepada ‘tok dukun cari makan’, bersabarlah. Tunggu hari mengundi, tunggu peti undi dibuka. Kalau ramalan tepat, bolehlah tersenyum. Kalau tersasar, jangan pula salahkan pengundi kerana tidak mengikut ramalan sendiri.
Ingat! dalam politik, ramalan boleh dibuat setiap hari. Tetapi mandat hanya diberikan sekali melalui peti undi.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
