KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 25) yang akan berlangsung pada 23 Mei hingga 1 Jun ini menyasarkan kira-kira 1.9 juta pengunjung.
Pengerusi Pengelola PBAKL 25, Mohd Khair Ngadiron berkata, jumlah itu bertambah kira-kira 100,000 orang berbanding 1.8 juta yang direkodkan pada PBAKL 2024 tahun lalu.
Katanya, PBAKL 25 yang akan berlangsung selama 10 hari itu akan menyaksikan penyertaan rakan industri perbukuan dari Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, India, China, United Kingdom, Afrika, Turki dan Pakistan.
“Lebih 280 pempamer dan 1,000 reruai akan memeriahkan pesta buku terbesar negara ini, termasuk penyertaan dari luar negara menerusi Asean Rights Fair (ARF).
“Menariknya, PBAKL tahun ini mengekalkan konsep hybrid, di mana pengunjung boleh membeli buku secara fizikal mahupun dalam talian menerusi platform seperti TikTok dan Shopee.
“Sudah tiga tahun kita raikan dunia digital dan pendekatan ini terbukti berjaya memberi akses lebih mudah kepada pembaca di seluruh negara,” katanya berucap pada majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, dan turut dihadiri Sasterawan Negara (SN), Datuk A. Samad Said serta beberapa penggiat seni tanah air.
Menurut Mohd Khair, PBAKL 25 juga turut menampilkan empat pavilion khas yang akan diisi oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perpaduan Negara dan Al-Falah yang menggabungkan 14 agensi agama bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Selain itu, katanya, Galeri Khas TEROKA iaitu satu elemen baharu yang memberi penghormatan kepada keagungan karya Malaysia serta sejarah perbukuan negara turut disediakan.
“Galeri ini akan menampilkan koleksi karya-karya terkenal dari penulis tanah air, karya klasik hingga moden, yang mencerminkan keberagaman budaya, sejarah dan identiti Malaysia.
“Pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana industri perbukuan Malaysia berkembang seiring dengan perubahan zaman serta menyaksikan pencapaian besar yang telah dicapai oleh penulis serta penerbita tanah air dalam arena global.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM200,000 sebagai geran terjemahan kepada penerbit luar negara yang berminat untuk menterjemahkan karya tempatan ke peringkat antarabangsa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001