Trump salahkan nahas udara Washington berlaku kerana dasar 'kepelbagaian pekerja'

Trump salahkan nahas udara Washington berlaku kerana dasar ‘kepelbagaian pekerja’

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melancarkan serangan politik dengan menyalahkan pengambilan pekerja berdasarkan kepelbagaian etnik sebagai punca kemalangan udara antara pesawat penumpang dan helikopter tentera.

Trump, yang memegang jawatan 10 hari lalu, menjadikan sidang media mengenai tragedi itu sebagai platform untuk menyerang dasar kepelbagaian, ekuiti dan inklusi (DEI) iaitu satu siri langkah selama beberapa dekad bertujuan memerangi perkauman dan penindasan jantina di seluruh AS.

Trump menuduh pendahulunya dari Demokrat, Joe Biden dan Barack Obama, kerana menyekat pekerja yang berkebolehan memasuki Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) demi DEI, sekali gus menjejaskan kecekapan jabatan itu.

Tindakan Trump mempolitikkan tragedi itu berlaku ketika penyiasat memberi amaran mereka memerlukan masa untuk membongkar bagaimana jet Bombardier, yang dikendalikan oleh anak syarikat American Airlines, dan helikopter Black Hawk tentera boleh bertembung antara satu sama lain Rabu lalu.

Menurut laporan The New York Times (NYT), kekurangan kakitangan berlaku di menara kawalan di Lapangan Terbang Nasional Reagan, tempat pesawat penumpang sedang dalam proses mendarat ketika kemalangan itu berlaku.

NYT memetik laporan awal FAA sebagai berkata, ketika tragedi itu berlaku, hanya seorang, berbanding dua sepatutnya, yang mengendalikan kedua-dua laluan penerbangan pesawat dan helikopter.

Kebakaran besar meletus di langit dan kedua-dua pesawat jatuh ke dalam Sungai Potomac yang beku, menyebabkan pasukan penyelamat menghadapi tugas sukar mencari mayat dalam gelap dan kesejukan.

Ketua Bomba Washington, John Donnelly, berkata 28 mayat sudah ditemui setakat ini.

Pesawat penumpang itu membawa 60 penumpang dan empat kru manakala Black Hawk membawa tiga penumpang.

Kemalangan itu adalah nahas besar pertama di AS sejak 2009 apabila 49 orang terbunuh berhampiran Buffalo, New York.

Lapangan Terbang Nasional Reagan ialah lapangan terbang utama yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Washington, Rumah Putih dan Pentagon.

Ruang udara sangat sibuk, dengan pesawat awam dan tentera sentiasa ada di ruang udaranya.

Bagaimanapun, Setiausaha Pengangkutan era Biden, Pete Buttigieg, menyifatkan Trump seorang yang keji kerana ketika keluarga mangsa bersedih, Trump harus memimpin, bukan berbohong.

Senator Demokrat, Chris Murphy pula menyatakan bahawa komen Trump yang menyalahkan pengambilan wanita dan orang kulit hitam oleh FAA sebagai punca kemalangan adalah menjijikkan.

“Dia yang bertanggungjawab. Ini berlaku di bawah jagaannya,” katanya.

Namun, Trump mempertahankan pendiriannya dan kemudian mengeluarkan memo rasmi yang mengarahkan kerajaan menyiasat ‘kemerosotan dalam piawaian pengambilan’ di bawah Biden dan ‘menggantikan’ sesiapa yang tidak layak.

Antara yang menaiki pesawat itu ialah beberapa pemain luncur salji dan jurulatih AS, manakala pegawai di Moscow turut mengesahkan kehadiran pasangan luncur salji Russia, Evgenia Shishkova dan Vadim Naumov, yang memenangi gelaran beregu dunia 1994. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *