Tukang rumah dipenjara 5 bulan, denda ancam keluarga Harith Iskander

Tukang rumah dipenjara 5 bulan, denda ancam keluarga Harith Iskander

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM2,000 atas kesalahan mengugut keluarga pelawak Harith Iskander pada 23 Januari lalu.

Majistret Mageswary Subramaniam menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Izzuddin Md. Salim, 31, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat ancaman menerusi pesanan WhatsApp yang dihantar ke telefon bimbit syarikat milik Dr. Jezamine Lim iaitu bekas isteri Harith.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 8.50 pagi, 23 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Harith dan Dr Jezamine Lim hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mengikuti prosiding pendakwaan tukang rumah yang mengugut keluarga mereka.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Izzuddin turut memohon maaf kepada mahkamah dan menyatakan rasa kesal dengan tindakannya.

“Saya minta maaf banyak-banyak.

“Saya minta hukuman denda (ringan) kerana ini kesalahan kali pertama, saya janji tidak akan ulang untuk selama-lamanya,” kata tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Mohd Sabri Othman.

Harith dan Jezamine turut hadir pada prosiding itu.

Ketika ditemui selepas prosiding, Harith berkata pihaknya menerima keputusan mahkamah itu.

Ditanya mengenai permohonan tertuduh, Harith berkata Izzuddin hanya menjawab soalan daripada Mageswary.

“Dia bercakap dengan hakim. Bagi saya kita dah dapat keputusan dan ‘move on’ dari sini,” katanya.

Jazmine ketika diminta mengulas permohonan maaf dan perjalanan prosiding itu hanya mengalirkan air mata.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *