FINAS tawar kemudahan sistem bunyi canggih RM6 juta

FINAS tawar kemudahan sistem bunyi canggih RM6 juta

KUALA LUMPUR – Fasiliti sistem bunyi terkini, Atmos Dolby bernilai RM6 juta disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memberi kemudahan kepada penerbit tempatan menghasilkan filem dengan kualiti bunyi terbaik.

Atmos Dolby di FINAS adalah fasiliti teknologi audio terkini rantau ASEAN diperkenalkan FINAS, malah kemudahan pertama yang dibenarkan Dolby untuk mengeluarkan sijil perakuan penggunaan sistem bunyi canggih itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata objektif penyediaan fasiliti produksi seperti Atmos Dolby bertujuan membangunkan industri kreatif melalui pelbagai inisiatif.

“FINAS sentiasa membantu pembangunan industri filem menerusi pelbagai inisiatif termasuk menyediakan fasiliti produksi seperti Atmos Dolby, pasca produksi dan produksi maya.

“Kami sedang dalam kerangka meneruskan kerjasama dengan Dolby bagi membangunkan kepakaran dalam bidang ini.

“Langkah ini diambil bagi memastikan kepakaran dalam bidang audio akan sentiasa berterusan,” katanya kepada BH Online.

Azmir berkata, sejak FINAS menambah baik studio audio Dolby 7.1 kepada teknologi Atmos, tahun lalu, tujuh filem tempatan menggunakan fasiliti itu, antaranya Takluk: Lahad Datu; Baik Punya Ah Long dan Dongeng Sang Kancil.

Setakat ini, hanya ada tiga fasiliti Atmos Dolby di Malaysia, iaitu yang digunakan Astro dan Studio Iskandar Malaysia.

Azmir berkata, kemudahan Atmos Dolby disediakan FINAS juga sudah menerima klien luar negara pertama, iaitu sebuah syarikat produksi dari Vietnam.

Tambahnya, jurutera audio bagi projek Atmos Dolby dibawakan khas dari Perancis.

Azmir berkata, Malaysia berpotensi menjadi hab teknologi melalui kemudahan diperkenalkan di studio Atmos Dolby yang dapat menarik syarikat produksi antarabangsa menggunakan fasiliti itu melalui kepakaran tempatan.

Sehubungan itu, tambahnya, FINAS akan memberi fokus kepada program latihan kepakaran industri, pembangunan dan penggunaan teknologi seperti Atmos dan kecerdasan buatan (AI).

“Saya dan pasukan FINAS akan mengadakan banyak perbincangan bersama universiti tempatan dan politeknik bagi memastikan industri filem dan televisyen (TV) sealiran dengan perkembangan teknologi.

“Kita mahu menghasilkan graduan berkemahiran tinggi, bukan sahaja dalam pembikinan skrip, idea dan lakonan, malah menghasilkan filem berkualiti dari sudut teknologi.

“FINAS juga akan berjumpa syarikat teknologi seperti Dolby, Sony, ARRI dan sebagainya bagi memastikan ekosistem industri kreatif disokong pengeluar teknologi tinggi ini,” katanya. – BHNews

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *