BERITA UTAMA
Amanah sambut baik Bajet 2025, anggap suatu yang realistik – Dr. Mujahid

Amanah pandang serius isu NAFAS, sokong pendekatan tegas pihak berkuasa

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memandang serius isu mutakhir yang membabitkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Timbalan Presidennya, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pihaknya menyokong apa juga langkah dan pendekatan tegas pihak berkuasa untuk menangani kemelut berkenaan memperbaiki segala kelemahan, kepincangan dan ketirisan yang berlaku kerana ia memberi kesan langsung kepada nasib petani dan peladang di seluruh negara.

“Kami percaya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengambil segala langkah proaktif, tegas dan berani bagi menyusun semula organisasi NAFAS serta meletakkannya di landasan yang betul.

“Sebarang usaha dan pendekatan yang menepati hasrat ke arah pemerkasaan tatakelola yang baik bagi sebuah organisasi besar seperti NAFAS adalah seiring dengan gagasan kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa serta merta bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin dilaporkan berkata, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi NAFAS.

“Dengan perintah yang dikuatkuasakan ini, NAFAS mempunyai hak selaras dengan Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah ini,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *