KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bukan kubu mana-mana parti.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana parti berpeluang untuk memenangi kerusi berkenaan.
“Dalam politik apa sahaja boleh berlaku walaupun suasana dilihat atas kertas memihak kepada parti tertentu.
“Begitu juga di DUN Mahkota, bagi saya kerusi berkenaan bukan kubu kuat mana-mana parti kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Cita rasa pengundi tiada siapa yang tahu dan hanya dibuktikan ketika mengundi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kota Bharu Half Marathon (KBHM), hari ini.
Katanya, Pas akan bergabung dengan parti di bawah PN untuk turun padang membantu kempen calon mereka.
“Calon akan diumumkan nanti, PAS di bawah PN semua akan bergabung untuk memenangkan calon kita,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH), dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri Mac 2022. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
