Oleh: Noorumaina Mohamed Yunus
NILAI – Bagi pelajar dari Osnabrück, Jerman, Salma Hajam, latihan industri selama lebih sebulan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang dalam memahami dan meneroka bidang psikologi Islam.
Salma yang menjalani latihan industri di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dari 7 Mei hingga 18 Jun lalu berkata, pengalaman tersebut membuka ruang kepadanya untuk memahami jiwa dan tingkah laku manusia menerusi gabungan perspektif psikologi serta pandangan alam Islam.
“Salah satu pelajaran terbesar yang saya peroleh ialah kepentingan memahami jiwa manusia daripada perspektif psikologi dan Islam. Saya mendapati kedua-dua perspektif ini boleh saling melengkapi dan memperkayakan pemahaman kita,” katanya.

Sepanjang berada di USIM, Salma mengikuti program latihan industri di bawah penyeliaan Prof. Dr. Khairul Anwar @ Johari Mastor dari Program Kaunseling serta menerima bimbingan dan pendedahan akademik daripada warga FKP serta pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).
Menurut Salma, pengalaman tersebut turut mendorongnya untuk menilai secara kritis pelbagai teori psikologi yang banyak berpusatkan pemikiran Barat.
Beliau berkata, faktor budaya, agama dan pandangan alam perlu diberikan perhatian kerana ketiga-tiga elemen tersebut mempengaruhi cara manusia memahami kesihatan mental, kesejahteraan diri dan proses pemulihan.
“Latihan industri ini menggalakkan saya untuk memikirkan semula beberapa teori psikologi yang berorientasikan Barat dan mempertimbangkan bagaimana budaya, agama serta pandangan alam mempengaruhi pemahaman kita tentang kesihatan mental.
“Pada masa sama, saya menyedari bahawa psikologi Islam masih merupakan bidang yang sedang berkembang dan mempunyai banyak ruang untuk penyelidikan serta pembangunan pada masa hadapan,” katanya.
Salma berkata, tamatnya latihan industri tersebut bukanlah penamat kepada proses pembelajarannya, sebaliknya menjadi langkah awal kepada usaha yang lebih besar untuk mendalami bidang psikologi Islam.

“Bagi saya, latihan industri ini bukan pengakhiran pembelajaran, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang untuk terus belajar, menjalankan penyelidikan dan mudah-mudahan menyumbang kepada bidang ini, insya-Allah,” katanya.
Selain ilmu akademik dan pengalaman profesional, Salma berkata, layanan mesra, sifat prihatin dan keramahan masyarakat Malaysia adalah antara perkara paling bermakna yang akan dibawanya pulang ke Jerman.
Menurutnya, beliau tidak hanya diterima sebagai seorang pelatih industri, malah dilayan sebagai sebahagian daripada komuniti sepanjang berada di USIM dan Malaysia.
“Saya diterima bukan sekadar sebagai pelatih, tetapi sebagai sebahagian daripada komuniti. Perkara itu menjadikan pengalaman saya di sini sangat istimewa.
“Saya turut dijemput menghadiri pertemuan kebudayaan dan acara keluarga yang membolehkan saya mengalami sendiri budaya Malaysia serta mencipta kenangan yang akan sentiasa saya hargai,” katanya.
Salma yang telah berkunjung ke Malaysia sebanyak tiga kali berkata, masyarakat Malaysia sentiasa meninggalkan kesan mendalam kepadanya kerana bersikap mesra, baik hati dan prihatin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menerimanya dengan tangan terbuka, berkongsi budaya dan membuatkannya berasa seperti berada di rumah sendiri.
“Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa sebahagian daripada pelajaran paling berharga diperoleh di luar bilik kuliah. Saya berharap setiap orang yang membaca perkongsian ini akan berpeluang merasai pengalaman yang serupa, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Khairul Anwar berkata, Salma menunjukkan komitmen yang baik sepanjang menjalani latihan industri serta berusaha memahami pengaplikasian perspektif Islam dalam bidang psikologi dan kaunseling.
“Ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh sepanjang program ini telah memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan peribadi dan profesional beliau.
“Pengalaman tersebut diharapkan dapat meningkatkan keyakinan dan kesediaannya untuk menghadapi cabaran dalam bidang akademik serta kerjaya pada masa hadapan,” katanya.
FKP mengucapkan tahniah kepada Salma atas kejayaannya menamatkan latihan industri dan berharap beliau terus memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat dan perkembangan bidang psikologi Islam.
Noorumaina Mohamed Yunus adalah Penolong Pegawai, Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L