Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
PERTAMA sekali saya sebagai Ahli Akademik dalam bidang Fatwa Makanan dan kepenggunaan kontemporari Fakulti Pengajian Islam UKM amat berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri dalam memartabatkan Persijilan Halal Malaysia di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Saya sendiri telah terlibat sebagai panel persijilan halal Malaysia bersama JAKIM dan Negeri Selangor lebih 13 tahun mendapati bahawa pihak berautoriti agama TIDAK PERNAH MEWAJIBKAN sijil halal kepada peniaga-peniaga, tetapi ia lebih kepada GALAKAN supaya produk makanan di negara ini lebih meyakinkan pengguna dari aspek halal mahupun kebersihan.
Perkara ini boleh dirujuk daripada kenyataan Menteri Agama YB Senator Dato’ Setia Dr Naim Mokhtar dalam IG rasmi milik beliau pada 6 September 2024.
Realitinya, sijil halal Malaysia tidak sama sekali memalukan negara, tetapi ia satu kebanggaan kepada negara apabila banyak negara-negara luar mengiktiraf Malaysia sebuah negara yang amat terperinci dalam mengeluarkan sijil halal kepada produk makanan/kepenggunaan sehingga ia menjadi tempat rujukan untuk negara seperti Korea, Jepun, Dubai dan lain-lain,
Saya sendiri telah dilantik oleh agensi luar negara seperti Kuwait, Dubai, Cosova dan lain-lain untuk mengajar serta memberi nasihat kepada mereka kaedah terbaik menangani persijilan halal sebagaimana yang telah dilakukan oleh JAKIM selama ini.
Saya amat menyambut baik usaha JAKIM yang telah mempermudahkan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk menyemak status pemilikan sijil halal Malaysia dalam talian.
Ia menyebabkan rakyat Malaysia sudah mula peka terhadap persijilan halal hingga mereka akan menyemak status premis menerusi sistem yang telah dibangunkan oleh JAKIM.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ini salah satu petanda positif yang membuktikan bahawa sijil halal kita dihormati sehingga ia menjadi rujukan setiap umat Islam yang mementing makanan halal lagi bersih. Makanan yang bersih ini merupakan idaman setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama.
Galakan kepada premis makanan untuk mendapatkan sijil halal amat penting sekali kerana hari ini terdapat sebahagian pengusaha hanya memikirkan keuntungan semata-mata, tetapi tidak menjaga kebersihan dan keselamatan produk makanan yang dijualnya.
Maka ini akan membahayakan kesihatan pengguna dan pengunjung. Atas asas itu, kerajaan menerusi JAKIM telah memperkasakan persijilan halal Malaysia untuk memastikan makanan yang dijual itu halal, bersih dan selamat untuk rakyat Malaysia.
Walaubagaimana pun, ia terpulang kepada peniaga sama ada ingin memohon sijil halal atau pun tidak kerana kerajaan tidak pernah mewajibkan ke atas para peniaga.
Data juga menunjukkan bahawa peniaga dan premis milik bukan bumiputera adalah lebih ramai peratusannya yang memohon sijil halal Malaysia berbanding peniaga Melayu Muslim. Ia membuktikan bahawa persijilan halal Malaysia diyakini oleh semua pihak tanpa mengira agama sehingga prosesnya juga telah dipermudahkan oleh pihak JAKIM.
Saya menyeru supaya kita berpandangan positif bagi memastikan agenda Malaysia Madani dapat dilaksanakan dengan cemerlang. – ND
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim adalah Pensyarah Fiqh Makanan & Kepenggunaan Kontemporari, Fakulti Pengajian Islam, UKM
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
