KANGAR – Bangkai seekor ikan lumba-lumba dengan anggaran berat 120 kilogram (kg) ditemukan terdampar di pesisir Pantai Kurung Tengar, di sini, petang semalam.
Pengarah Perikanan Perlis, Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan bangkai ikan lumba-lumba berukuran 222 sentimeter panjang itu kira-kira 5 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan luka pada badan ikan lumba-lumba itu.
“Sampel turut diambil bagi tujuan analisis DNA sebelum bangkai ikan itu ditanam mengikut prosedur ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Nur Ashry berkata, spesies ikan lumba-lumba itu disenaraikan di bawah Jadual Spesies Ikan Yang Terancam 1999 mengikut Akta Perikanan 1985.
Beliau turut menyeru golongan nelayan supaya sentiasa berhati-hati terhadap kehadiran mamalia marin di perairan negeri itu serta tidak mengganggu atau mengancam keselamatan haiwan berkenaan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dan orang awam yang menyalurkan maklumat mengenai penemuan bangkai ikan lumba-lumba ini.
“Pejabat Perikanan Perlis akan terus mempergiat program kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan kepelbagaian sumber perikanan, khususnya mamalia marin di negeri ini,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L