USIM Universiti Pertama Tawar Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat, Perkasa Dakwah OKU Negara

SARAWAK – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dan pusat rujukan Dakwah OKU negara khususnya pengembangan inovasi inklusif Quran Isyarat menerusi pelaksanaan Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) yang berlangsung pada 12 hingga 14 Julai lalu di Hotel Grand Margherita, Kuching.

Program yang menghimpunkan 27 Pegawai Tadbir Agama Bahagian dan Pegawai Pengislaman, Bahagian Saudara Kita, JAIS dari seluruh Negeri Sarawak ini bertujuan membangunkan kompetensi tenaga pengajar dalam menguasai kemahiran membaca Quran Isyarat agar penyampaian kepada golongan sasar dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, efektif dan inklusif.

Penganjuran kursus ini mencerminkan keyakinan berterusan agensi kerajaan terhadap kepakaran UMMI, USIM dalam mengupaya pegawai-pegawai JAIS dalam mendepani isu dan cabaran Mualaf termasuk OKU Pendengaran Mualaf dalam mempelajari Quran sesuai dengan ketidakupayaan mereka mendengar dan bertutur.

Kursus ini turut menekankan peranan guru sebagai Dai (Pendakwah), teori asas kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) Quran bagi OKU, pengetahuan dan kemahiran asas membaca Quran menggunakan isyarat Kod Tangan Quran secara ‘hands-on’ dan pelaksanaan penilaian bagi memastikan tahap penguasaan dan kompetensi kursus tercapai.

Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Sahibus Siyadah Mual Suaud.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan, pembangunan kapasiti tenaga pengajar merupakan elemen penting dalam memperluaskan akses pendidikan Islam kepada komuniti OKU pendengaran di seluruh Negeri Sarawak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak USIM atas kesediaan berkongsi kepakaran dalam bidang Quran Isyarat yang diyakini mampu memperkukuh agenda dakwah OKU di negeri tersebut.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, peserta mengikuti latihan intensif dikendalikan pasukan tenaga pakar UMMI yang diketuai Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad dan Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil serta dibarisi staf dan Felo Budi UMMI yang terlatih dan berpengalaman.

Penglibatan pasukan multidisiplin ini mencerminkan kekuatan ekosistem kepakaran USIM yang mengintegrasi penyelidikan dan inovasi dalam latihan profesional dalam menjayakan Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim (2024-2028) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Profesor Madya Dr. Norakyairee Mohd Raus berkata, inisiatif pembangunan Quran Isyarat merupakan antara agenda strategik USIM dalam memastikan komuniti OKU pendengaran menikmati hak yang sama untuk mempelajari, memahami dan menghayati Quran melalui pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“USIM melalui UMMI bukan sekadar membangunkan kaedah membaca Quran menggunakan Isyarat Kod Tangan Quran (KTQ), malah membina keseluruhan ekosistem yang merangkumi penyelidikan, pembangunan modul, latihan kompetensi, inovasi dan pemindahan ilmu kepada pelbagai agensi di seluruh negara.

“Usaha ini memperkukuh kedudukan USIM sebagai peneraju dan pusat Dakwah OKU” ujarnya lagi.

Beliau berkata, kerjasama strategik bersama JAIS bermula dengan penganjuran Kursus Eksekutif Emansipasi OKU tahun lepas membuktikan bahawa hasil penyelidikan dan kepakaran universiti dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan latihan yang memberi impak secara langsung kepada masyarakat.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli bagi melahirkan masyarakat yang inklusif, berdaya saing dan berteraskan nilai ihsan.

Penganjuran kursus ini turut memperkukuh jaringan strategik antara USIM dan JAIS dalam usaha memperluaskan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Quran Isyarat di Sarawak.

Melalui latihan yang diberikan, para peserta diharap dapat menjadi agen penggerak dalam menyampaikan PdP Quran secara lebih inklusif kepada komuniti OKU di negeri tersebut, sekali gus menyokong usaha memperkasakan agenda Dakwah OKU Negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *