JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan penghentian operasi NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana syarikat atau organisasi yang melanggar undang-undang negara.
Katanya, keputusan Mesyuarat Penuh Khas MBIP itu dilaksanakan mengikut proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa selepas penelitian menyeluruh terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan pihak syarikat.
Beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan selepas sesuatu aduan atau maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan keseluruhan proses perundangan disempurnakan.

Menurutnya, tempoh sesebuah premis beroperasi tidak boleh dijadikan ukuran semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
“Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi. Kerajaan Negeri akan terus memperketat penyelarasan antara semua agensi supaya sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani dengan segera,” katanya dalam kenyataan semalam.
Onn Hafiz turut menegaskan, Johor kekal komited mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
“Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau apa-apa perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), polis serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang Malaysia.
Menurut Onn Hafiz, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan memandangkan Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura.
“Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani dengan segera, tegas dan tanpa kompromi,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) meneliti semula status Malaysia Digital atau sebarang bentuk pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang telah ditetapkan.
Beliau turut menyeru semua agensi berkaitan supaya memperketat proses saringan atau due diligence, termasuk semakan latar belakang syarikat, struktur pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana organisasi yang ingin beroperasi di negara ini.
Katanya, penyelarasan antara agensi juga perlu diperkukuhkan supaya setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa dapat dinilai secara menyeluruh daripada aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan terhadap undang-undang.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan, kedaulatan dan kedaulatan undang-undang negara,” katanya.
Onn Hafiz turut memaklumkan, semua perkara berkaitan tindakan terhadap NSO Malaysia Sdn. Bhd. itu telah disembah maklum serta mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L