KUALA TERENGGANU – Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang melabuhkan tirai di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini, mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan jumlah kehadiran tertinggi sepanjang tempoh empat tahun penganjurannya.
Program berbentuk karnival sains selama tiga hari bermula Sabtu lalu itu merekodkan kehadiran keseluruhan seramai 20,419 pengunjung, dengan hari terakhir mencatat jumlah tertinggi iaitu 8,396 pengunjung, diikuti 6,886 pengunjung pada hari pertama dan 5,137 hari kedua.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 68 peratus berbanding edisi terdahulu yang hanya mencatat 12,185 pengunjung, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta PSKT sebagai penganjur utama di Zon Timur.
“Rekod baharu ini menjadi bukti jelas segala usaha PSKT dalam mempromosikan penganjuran Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur telah mencapai sasaran. Malah, jumlah kehadiran kali ini berjaya melepasi sasaran awal sekitar 15,000 pengunjung dengan pencapaian jauh lebih tinggi daripada jangkaan.

“Berdasarkan data-data dan maklumbalas yang diterima, kita tidak boleh menafikan sebahagian besar pengunjung adalah komuniti dari luar bandar melibatkan murid, pelajar, generasi muda mahupun institusi kekeluargaan, sekali gus memperkukuhkan kerangka program atau pelaksanaan dari peringkat kementerian untuk memberi akses sama rata dalam bidang sains ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.
Menurut beliau, selain pameran agensi yang sentiasa menjadi tarikan utama, program berbentuk advokasi turut mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan pelbagai agensi negeri serta ahli akademik yang berkongsi pandangan dan kepakaran.
Sepanjang tiga hari penganjuran berkonsepkan karnival, sebanyak 35 agensi termasuk kementerian dan jabatan berkaitan terlibat menjayakan program tersebut, menjadikan Kuala Terengganu sebagai tumpuan utama komuniti sains di Zon Timur.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L