KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan kemungkinan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu realiti politik yang perlu dihadapi dengan tenang dan matang, sambil menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak akan terjerumus dalam politik berasaskan ketakutan serta perpecahan.
Beliau berkata, perubahan landskap politik sekiranya kedua-dua gabungan itu memilih untuk bekerjasama adalah hak mereka dan tidak seharusnya mencetuskan kebimbangan berlebihan dalam kalangan penyokong PH.
Menurutnya, setiap gabungan politik mempunyai pendekatan tersendiri, manakala AMANAH bersama PH akan terus berpegang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta negara berbanding kepentingan parti atau individu.
“Ada yang menyuarakan kebimbangan mengenai senario politik semasa. Saya tidak menafikan jika BN dan PN bergabung, landskap politik boleh berubah. Itu satu hakikat yang perlu diterima dengan tenang.
“Kita tidak perlu panik, sebaliknya bersedia menghadapinya secara matang. BN dan PN mempunyai pendekatan mereka dan itu hak mereka, manakala AMANAH serta PH akan terus dengan pendekatan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad, yang juga dikenali sebagai Bang Mat berkata, sejarah politik negara membuktikan hubungan antara PAS dan UMNO bukan sesuatu yang baharu kerana kedua-dua parti pernah menjalinkan kerjasama sebelum membawa haluan masing-masing.
Beliau berkata, sekiranya kedua-dua parti itu memilih untuk kembali bekerjasama, perkara berkenaan wajar dilihat sebagai sebahagian daripada dinamika politik, manakala rakyat boleh menilai sendiri sejauh mana keserasian kerjasama tersebut mampu bertahan.
“PAS dan UMNO pernah bersama dan pernah berpisah. Jika mereka memilih untuk kembali bersama, kita lihat sahaja bagaimana perjalanan itu nanti dan sejauh mana keserasian itu dapat bertahan,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, fokus utama AMANAH dan PH ketika ini adalah meneruskan usaha mentadbir negara serta melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited memperjuangkan kebajikan orang Melayu dan memartabatkan Islam menerusi pelaksanaan dasar yang membawa manfaat sebenar, bukannya melalui politik yang membangkitkan rasa takut.
Menurut beliau, kerajaan juga kekal mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu serta hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan berusaha membina sebuah negara yang stabil, maju dan dihormati di peringkat antarabangsa tanpa mengorbankan prinsip asas negara.
Beliau menegaskan, AMANAH tidak akan terperangkap dengan permainan politik bersandarkan sentimen perkauman atau perpecahan kerana pendekatan sedemikian tidak membawa manfaat jangka panjang kepada negara.
Mengulas mengenai masa depan masyarakat Melayu, Mohamad berkata, beliau mahu melihat lahirnya generasi Melayu yang memiliki ilmu, berintegriti, berdikari serta berdaya saing dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan teknologi.
Katanya, orang Melayu perlu diperkasakan sehingga mampu bersaing di pentas global seperti bangsa-bangsa maju lain, sekali gus menguasai bidang ekonomi, inovasi dan teknologi.
Menurut beliau, usaha membela orang Melayu tidak seharusnya bergantung kepada naratif bahawa masyarakat itu sentiasa berada dalam ancaman.
Sebaliknya, katanya, tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan serta kekuatan dalam kalangan rakyat, bukannya terus menyemai perasaan takut atau tidak yakin terhadap masa depan.
“Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam. Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita mahu membina kekuatan? Tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan, bukan menyemai ketakutan,” katanya.
Mohamad turut menyatakan keyakinan, masyarakat Melayu kini semakin matang dalam membuat penilaian politik dan tidak lagi mudah dipengaruhi retorik yang memainkan sentimen sempit.
Beliau berkata, orang Melayu hari ini semakin berani berdikari, berfikiran terbuka serta lantang mempertahankan kebenaran berasaskan fakta dan prinsip.
“Orang Melayu bukan lagi bangsa yang hanya mengharapkan ihsan semata-mata. Mereka semakin berani berdikari dan yakin dengan kemampuan sendiri.
“Akhirnya, Melayu yang kuat bukanlah Melayu yang hidup dalam ketakutan, tetapi Melayu yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
