Tajuk Utama
    Diplomat Iran beri amaran, Israel akan bayar harga yang mahal atas pembunuhan Ismail Haniyeh

    Diplomat Iran beri amaran, Israel akan bayar harga yang mahal atas pembunuhan Ismail Haniyeh

    TEHRAN – Israel akan membayar harga yang mahal untuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di bumi Iran, kata diplomat kanan Iran, Abbas Araghchi dalam satu hantaran di akaun X pada Rabu.

    Abbas dijangka menjadi Menteri Luar Negeri di bawah pentadbiran Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, menurut laporan media kerajaan IRNA.

    “Rejim Israel akan gagal mencapai objektifnya untuk menyekat kerja kerajaan baharu di Iran,” kata Abbas.

    Israel, bagaimanapun, tidak mengaku bertanggungjawab di atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu dalam satu serangan di Tehran, semalam.

    Kematian Ismail yang dipercayai menjadi sasaran peluru berpandu pada awal pagi Rabu menyebabkan seluruh dunia berduka.

    Jenazah Ismail akan dibawa ke Doha, Qatar selepas majlis penghormatan terakhir di Tehran yang dijadual pada Khamis sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.

    Memetik portal Al Jazeera, kumpulan Hamas berkata, selepas majlis penghormatan terakhir berlangsung di ibu negara Iran itu, jenazah Ismail kemudian akan dikebumikan di ibu negara Qatar pada Jumaat.

    Di WASHINGTON: Jurucakap keselamatan negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby berkata, White House “tidak dapat mengesahkan ” laporan dari Hamas bahawa pemimpin politik kumpulan itu, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan Israel di ibu negara Iran, Tehran.

    Beliau bagaimanapun mengakui, kematian Ismail semalam dan komander kanan Hezbollah, Fu’ad Shukr di selatan Beirut pada Selasa “sudah tentu tidak membantu meredakan suhu (ketegangan) ketika ini.

    “Saya tidak akan bersikap optimis mengenainya – kami jelas bimbang tentang peningkatan (ketegangan),” kata Kirby kepada pemberita semasa taklimat akhbar White House pada Rabu.

    “Semua ini menambah kerumitan terhadap apa yang kami cuba lakukan”. – ND

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *